Wan Maimunah sebak menerima kunjungan media. FOTO STR/ MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Nor Shafinaz Sari


Jasin: Pelakon veteren Wan Maimunah Abdul Aziz, 62, ditahan di wad Hospital Jasin, sejak Jumaat lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan hati bengkak kini semakin stabil.

Ketika ditemui, Wan Maimunah atau mesra dengan panggilan ibu berkata, dia mengalami sesak nafas selepas pulang daripada mengerjakan umrah 20 November lalu dan mendapatkan rawatan awal di Klinik 1Malaysia Sungai Udang.

"Tiga hari berturut-turut ibu ke klinik kesihatan sebelum doktor merujuk masalah kesihatan dialami ke Hospital Melaka. Hasil pemeriksaan doktor mengesan jangkitan kuman pada paru-parunya dan hati bengkak tetapi tidak serius.

"Ibu dibenarkan pulang dan tinggal di rumah anak di Ayer Merbau, Jasin.

Namun ibu sekali lagi mengalami sesak nafas pagi Jumaat lalu dan terus ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sepanjang berada di hospital berkenaan, beliau turut menerima kunjungan wakil Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), saudara mara dan anak angkat dalam industri seni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 4:46 PM