Antara yang ditahan kerana memiliki MyKad palsu. FOTO ihsan JPN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Port Dickson: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu berusia 20 hingga 49 tahun kerana menggunakan MyKad palsu selain memiliki MyKad orang lain dalam operasi di daerah ini, pagi tadi.

Ketua Pengarahnya Tuan Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya menjalankan Operasi Terancang JPN Bilangan 11/2016 di Kampung Batu serta Taman PD Utama, di sini sebelum menahan lima lelaki serta lima wanita warga asing antara 1 hingga 5 pagi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan individu mengaku berbangsa Tausug dan berasal dari Basilan serta Zamboanga, Selatan Filipina.

"Seorang lagi suspek berasal dari Jawa Barat, Indonesia dan berbangsa Sunda," katanya.

Beliau berkata, suspek memaklumkan MyKad berkenaan dibeli di Sandakan, Sabah antara RM300 hingga RM500 dan digunakan untuk bekerja di daerah ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1) (e) dan Seksyen 25 (1) (o) Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Tuan Mohd Yazid berkata, operasi disertai 33 anggota dan pihaknya menerima bantuan Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:20 PM