AFP

Abu Dhabi: Air mata Nico Rosberg sudah cukup menggambarkan kegembiraannya apatah lagi dia berjaya membuktikan kepada bapanya Keke betapa dia sudah berjaya merealisasikan impian ketika kanak-kanak dengan memenangi kejuaraan dunia Formula Satu.

Pemandu Jerman berusia 31 tahun itu menamatkan Grand Prix Abu Dhabi di tangga kedua di belakang rakan sepasukan, juara bertahan dan juga pesaing utamanya di Mercedes Lewis Hamilton untuk memenangi gelaran keseluruhan menerusi kelebihan lima mata.

“Saya amat gembira ia sudah berakhir,” kata Rosberg.

“Ia seolah-olah mimpi... saya terlalu bangga. Saya sudah mencapai sesuatu yang sama seperti yang pernah bapa saya lakukan.”

Bapanya, Keke Rosberg pernah menjuarai musim Formula Satu 1982 bersama pasukan Williams.

“Ia kemenangan yang amat menggembirakan,” ujar isteri Rosberg Vivian Rosberg selepas majlis sambutan sejurus tamat penyampaian hadiah. “Dia mengimpikan saat ini sejak kanak-kanak.

“Kira-kira 15 kawan baiknya ada di sini dan dia tidak tahu mengenai kehadiran mereka... Kami mahu mengejutkannya,” katanya.

Rosberg turut mengucapkan tahniah kepada Hamilton dengan berkata: “Anda mengharungi musim dengan cukup baik, sering menjadi pesaing hebat dan bukan mudah untuk mengalahkan anda... Mercedes, mainkan muzik itu - saya akan turun sekejap lagi.”

Kedua-dua pemandu berterima kasih kepada pasukan dan sesama sendiri dan Hamilton mempamer semangat kesukanan tinggi dengan menyembunyikan rasa kecewanya apabila terpaksa menyerahkan mahkota juara dunia kepada Rosberg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 8:12 AM