WENGER
AFP

London: Arsene Wenger mengakui Arsenal perlu menangani perasaan gemuruh sebelum menang 3-1 sekali gus meletakkan kembali mereka dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana.

Anak buah Wenger ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Chelsea selepas seri tiga daripada empat perlawanan terakhir liga dan mereka berada dalam bahaya mengalami satu lagi kejutan di Stadium Emirates, kelmarin.

Selepas mendahului menerusi gol awal Alexis Sanchez, Gunners diikat semula gol penalti kontroversi Callum Wilson pada pertengahan babak pertama.

Ketika penyokong setia Arsenal mula gelisah, Wenger mendedahkan beliau cuba menenangkan pemainnya semasa rehat apabila mereka mula dihantui tiga keputusan seri berturut-turut.

Mereka bagaimanapun bertindak balas terhadap taklimat Wenger dengan menjaringkan dua gol selepas rehat menerusi Theo Walcott dan Sanchez untuk merapatkan jurang kepada tiga mata berbanding Chelsea.

“Kami bermula baik tapi apabila mereka menyamakan kedudukan kami menjadi gelabah,” ujar Wenger.

“Ketika itu tiga seri berturut-turut menghantui fikiran kami. Terpulang kepada kami untuk menenangkan fikiran ketika rehat dan hanya fokus terhadap permainan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 8:17 AM