Kakitangan Jabatan Pertanian Kedah menjalankan operasi memusnahkan ulat bulu hitam di Kampung Tepi Laut Tebengau, Kuala Kedah sejak seminggu lalu. - Foto /RAHMAT OTHMAN
Rahmat Osman


Alor Setar: Jabatan Pertanian Negeri Kedah melakukan semburan racun serangga 'cypermethrin' bagi memusnahkan ulat bulu hitam di Kampung Tepi Laut Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Operasi besar-besaran itu dilakukan bermula 8.30 pagi oleh sembilan kakitangan Jabatan Pertanian negeri diketuai Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Emi Faizal Mohd Borham susulan 'serangan' ulat bulu itu yang mengganggu keselesaan penduduk sejak seminggu lalu.

Menurut Emi Faizal racun berkenaan tidak berbahaya kepada manusia dan disembur agar serangan ulat ulu berkenaan yang pertama kali berlaku di negeri ini, tidak berulang dan musnah sepenuhnya.

"Kami menyembur racun sepanjang kira-kira satu kilometer di tepi jalan di kampung selain di beberapa kawasan rumah berhampiran,” katanya ditemui selepas operasi berkenaan hari ini.

Beliau berkata, biarpun semburan dilakukan anggotanya diarah terus melakukan pemantauan di kampung terbabit bagi memastikan serangga itu benar-benar musnah.

"Pegawai kami akan melakukan pemantauan lagi pada esok bagi melihat kesan semburan racun serangga ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 1:48 PM