Pasukan SAR menguruskan mayat kedua yang ditemui tengah hari tadi. FOTO ihsan APMM


Daro: Mayat lelaki, kru kapal yang karam di perairan Pulau Bruit, di sini malam Sabtu lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tengah hari tadi..

Mayat dikenal pasti sebagai Abang Kamal Abang Awi, 30, ditemui terapung oleh anggota Unit Udara Polis kira-kira lima batu nautika dari Kampung Penipah, Pulau Bruit, di sini, pada jam 12.20 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Matu/Daro, Inspektor Mohamad Fariz Ayub berkata, mayat kedua yang ditemui itu kemudian dibawa menggunakan bot ke pusat operasi SAR di Kampung Betanak.

"Bapa mangsa serta rakan sekerjanya yang menunggu di pusat operasi membuat pengecaman dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Abang Kamal berdasarkan beberapa tanda pada lengannya," katanya.

Katanya, operasi kini diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu kapten kapal, Pawi Nyawan, 50 dan isteri Abang Kamal yang hanya dikenali sebagai Mira.

"Mayat yang ditemui kelmarin dikenal pasti sebagai warga Indonesia, Angga Wahyudi selepas pengecaman mayat dilakukan abangnya yang datang ke Hospital Daro, jam 3 petang tadi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu, kapal Jin Fiat No.1 bersama enam anak kapal yang dalam perjalanan dari Sebuyau untuk menghantar batu kelikir ke Tanjung Manis, karam di Laut China Selatan, kira-kira tiga batu nautika dari Kampung Betanak, Pulau Bruit.

Dua daripada kru kapal berkenaan iaitu Melvin Francis, 20 dan Kenny Clement, 18, ditemui selamat selepas berpaut selama lapan jam di belakang kapal berkenaan yang terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 5:21 PM