BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga air tebu terpaksa meringkuk dalam penjara selama 24 bulan kerana mencabul anak teman wanitanya yang berusia 12 tahun, Mei lalu,

Majistret Haslinda A Raof menjatuhi hukuman itu terhadap Abd Rahim Yusuf, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap murid darjah enam itu dengan niat mencabul kehormatannya.

Lelaki berkenaan yang masih bujang didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah rumah kedai di Taman Pandan Mewah di sini, pada 6 pagi awal Mei dan 4.30 petang, pertengahan Mei lalu.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 20 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau antara dua hukuman itu jika disabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tinggal bersama mangsa sudah dua kali mencabul mangsa namun kanak-kanak itu tidak memberitahu ibunya kerana tertuduh mengugut memukulnya. Mangsa bagaimanapun, memberitahu guru besar dan guru kaunseling di sekolahnya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf, namun Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman penjara kerana kesalahan itu adalah serius serta mengambil kira keselamatan mangsa yang tinggal bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 6:19 PM