Mohd Alif Riduan lemas di sungai dekat Kampung Manal, Tanah Merah, hari ini. FOTO ihsan bomba
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Kegembiraan empat rakan bermain di tebing sungai dekat Kampung Manal, di sini, hari ini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya lemas.

Mayat Mohd Alif Riduan Ahmad, 9, ditemui pasukan penyelamat pada 4 petang, iaitu satu kilometer dari tempat dia dilapor jatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.20 petang.

"Seramai enam anggota dikerah ke lokasi dan mencari mangsa sekitar kawasan dia dilapor jatuh.

"Sebelum itu, kanak-kanak itu bersama tiga rakannya dilapor bermain di tebing sungai itu dan tergelincir kira-kira 12 tengah hari.

"Rakannya memberitahu mangsa sempat berpaut pada akar pokok sebelum dihanyutkan arus deras," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut dibantu orang kampung dan mayat mangsa ditemui dalam jarak satu kilometer dari tempat jatuh.

Mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum diserahkan kepada keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 8:37 PM