Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Siapa sangka produk labu sayong mampu membawa anak Malaysia menimba pengalaman ke luar negara.

Pembuat labu sayong, Mohd Pareb [email protected], 38, yang berasal dari Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak berkata, dia bangga memperkenalkan produk itu kepada orang luar.

"Saya pernah terpilih untuk membuat pemasaran labu sayong di Perancis, Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.

"Bangga bila orang luar menghargai produk kraftangan kita dan bila jumpa saya, mereka kagum tengok teknik pembuatan labu sayong," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU 2016).

Mohd Pareb yang mewarisi bakat membuat labu sayong daripada bapanya berminat untuk meneruskan warisan itu sejak kecil lagi.

"Sejak kecil masa umur 12 tahun saya sudah pandai main tanah untuk buat labu sayong tapi dulu cara tradisional bukan macam sekarang.

"Selepas saya habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya memasuki Institut Kraftangan Perak kerana mahu serius dalam bidang ini," katanya.

Selepas 26 tahun terlibat dalam pembuatan labu sayong, Mohd Pareb pernah menerima pelbagai pengiktirafan.

Antaranya, tempat pertama Produk Kraf Terbaik 2006, Anugerah Produk Seramik Hari Kraf Kebangsaan 2014 dan Anugerah Pelancongan Perak 2012.

"Saya harap industri labu sayong ini akan lebih maju kerana kita boleh membawa produk ini ke luar negara.

"Kalau kita tak teruskan, mungkin warisan ini akan habis macam itu saja. Jadi saya dah mula terima pelajar yang mahu belajar buat labu sayong di bengkel saya di kampung," katanya.

Selain labu sayong, Mohd Pareb turut mahir membuat produk porcelin sejak lima tahun lalu selepas mempelajarinya di Jepun.

Mohd Pareb aktif dalam mempromosikan labu sayong dan porcelin bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKMP) termasuk di PAU 2016.

PKMP antara agensi yang mengadakan pameran mempromosikan produk masing-masing dalam perhimpunan sehingga 3 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 3:49 PM
FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid