Zulfa Mohamad


Butterworth: Tiada lagi pembayaran tol menggunakan wang tunai di sembilan plaza tol kawasan utara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana sistem pembayaran secara elektronik (ETC) dilaksanakan sepenuhnya bermula 12 tengah hari, hari ini.

Sembilan plaza tol berkenaan ialah Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

Sebelum ini, 14 plaza tol PLUS di kawasan tengah dan selatan sudah melaksanakan sistem bayaran tol elektronik manakala baki 71 plaza tol akan menggunakan sistem elektronik sepenuhnya tahun depan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, mulai hari ini semua transaksi di sembilan plaza tol kawasan utara dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada melalui kad Touch 'n' Go, PLUSMiles atau SmartTAG.

Katanya, pengguna kenderaan kelas satu yang membayar tol secara elektronik di sembilan plaza tol di utara layak menikmati rebat sebanyak 10 peratus berkuatkuasa hari ini hingga 31 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 5:25 PM
Pembantu Khidmat Pelanggan Plaza Tol Sungai Dua, Fauziah Husaain (kiri), Siti Munirah Jamil (tengah) dan Noor Zabiela Suhana Jusoh menunjukkan kad PLUSMILES dan Touch 'n Go selepas bermulanya pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Sungai Dua. - Foto AMIR IRSYAD OMAR