MUHAMMAD Fadhil (kanan) dan Pengarah Urusan CAP Hospitality, Lizi Jalil menunjukkan burger keluaran restoran mereka.
Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: CAP Hospitality Sdn Bhd (CAP Hospitality), pemegang lesen perniagaan bagi restoran Built Burger dan The Counter Burger optimis melebarkan sayap di bawah perniagaan francais dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketika ini, satu restoran The Counter dan Built Burger beroperasi masing-masing di pusat beli-belah Pavillion dan di Nu Sentral Mall dan mempunyai sasaran untuk membuka dua atau tiga restoran baru setahun bagi mengukuhkan kedudukan dalam pasaran gourmet burger di negara ini.

Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Fadhil Choong Abdullah berkata, sejak membuka perniagaan pada Jun lalu, Built Custom Burgers berbeza dengan kebanyakan restoran burger di negara ini kerana ia memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih bahan-bahan bagi menghasilkan burger pilihan mereka sendiri.

“Kita sedang bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) bagi membuka operasi secara francais memandangkan kami diberi kepercayaan memegang lesen kedua-dua restoran ini di Asia Tenggara oleh syarikat induk,” katanya.

“Buat masa ini, bagi mengukuhkan perniagaan kita akan melakukan pelebaran operasi di seluruh negara bersesuaian dengan permintaan dan kehendak pasaran. Bagi pelan jangka panjang pula, kita bercadang memasuki pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina selain berminat mencari rakan kerjasama bagi tujuan ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, operasinya bakal dibuka di Melaka dan di Pulau Langkawi, Kedah pada suku pertama 2017 dengan modal perbelanjaan (capex) antara RM400,000 hingga RM700,000.

Menurutnya, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pihak berkenaan bagi memuktamadkan pelan perniagaan terbabit.

“Kita juga mendapat permintaan untuk membuka restoran di beberapa lokasi terkemuka termasuk di [email protected], Mid Valley Megamall, Ikea, Cheras, [email protected] Tree By Hilton dan di Pulau Pinang,” katanya.

Syarikat menguruskan restoran dengan konsep ‘take-away-counter’ dan hidangan makanan ringkas tetapi sihat serta segar ini menawarkan khidmat penghantaran pesanan bagi menu tertentu dalam radius dua hingga tiga kilometer dari pusat operasi sedia ada sejak beroperasi Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 6:59 AM