AFP

Bogota: Kelab Colombia Atletico Nacional meminta Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) untuk memberikan kejuaraan Copa Sudamericana kepada pasukan lawan mereka dari Brazil Chapecoense sebagai tanda mengingati pemain kelab itu yang terbunuh dalam nahas kapal terbang.

Pasukan dari Colombia itu sudah membuat permohonan rasmi kepada CONMEBOL dalam satu kenyataan semalam.

“Kejuaraan Copa Sudamericana diserahkan kepada Chapecoense sebagai menghormati kehilangan besar dan penghormatan kepada mangsa nahas itu yang mencetuskan kesedihan dalam arena sukan ini.”

Chapecoense dan Atletico Nacional dijadual membuat perhitungan semalam bagi aksi pertama final Copa Sudamericana, pertandingan kedua terbesar di Amerika Selatan selepas Copa Libertadores.

CONMEBOL dalam satu kenyataan awal memaklumkan perlawanan itu ditangguhkan hingga dimaklumkan kelak.

“Kami sudah menghubungi pihak terbabit dan sedang menunggu laporan rasmi.”

Sumber rapat CONMEBOL memberitahu final itu hampir pasti tidak akan diadakan.

Sembilan pemain kelab Brazil itu tidak bersama pasukan ke Colombia.

Chapecoense Real berjaya mencipta kejutan apabila melangkah ke final Copa Sudamericana. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 8:19 AM