RUMINAH Sidek (Mak Mah) & Al Fatah Rahim
JACLYN Victor & Shawn Rivera (Az Yet)
SYAMSUL Yusof & Puteri Sarah Liyana
MISHA Omar & Firos Ezzuwan Rossly
FIZZ Fairuz & Almy Nadia
Syanty Octavia Amry

Diari hiburan 2014 tidak hanya menampilkan kisah karier seseorang artis itu, malah kisah peribadi mereka turut menjadi tatapan.

Daripada kisah biasa hinggalah yang kontroversi semuanya cukup rencah. Begitu juga dengan perkahwinan artis Malaysia bagi tahun ini.

Dapat kita lihat awal tahun menjadi titik permulaan dalam kehidupan baru pasangan artis yang baru mendirikan rumah tangga.

Ada yang perkahwinan ditunda begitu lama namun akhirnya bersatu juga. Ada yang terpaksa menunda maj­lis berikutan masalah kesihatan dan ada juga yang tidak jadi berkahwin pada saat akhir.

Seperti pasangan pelakon Amyra Rosli dan Dazrin Kamarudin, pasangan sama cantik sama padan ini sepatutnya melangsungkan perkahwinan mereka pada Ogos lalu, atas sebab peribadi ia dibatalkan.

Namun begitu, ada pula ura-ura mengatakan hubungan mereka memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi dipercayai berpunca daripada pihak ketiga.

Pertunangan pelakon Elly Mazlein dan pengarah Azmi Hatta hampir masuk tahun ketiga, meskipun pernah menunda majlis pernikahannya, kalau sudah tertulis jodoh mereka pasti akan bersatu juga.

Akhirnya pasangan ini bersatu tahun ini. Elly menerima mas kahwin RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Selain itu, beberapa selebriti dan pelakon yang melangsungkan perkahwinan pada tahun ini ialah Faralyna Idris, Mas Muharni dan Munif Isa, Elaine Daly, Radhi OAG, Alyph (Sleeq), Syarif (Sleeq), A Rahman Hassan dan Fadilah Mansor.

Ikuti antara paparan #throwback kali ini yang bertumpu kepada perkahwinan.

-Syamsul Yusof & Puteri Sarah Liyana

Biarpun berada dalam keadaan kurang sihat akibat demam denggi, pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30, tetap selamat bergelar suami kepada aktres Puteri Sarah Liyana, 29, dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Mac lalu.

Puteri Sarah diwalikan bapanya Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin dan menerima mas kahwin RM1,111 daripada Syamsul.

Malah, majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung sehari selepas itu ditunda ke tarikh yang lain berikutan keadaan kesihatan Syamsul. Syamsul dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur selepas disyaki menghidap demam denggi.

Majlis menyambut menantu diadakan pada 18 April di Dewan Perdana Felda dan 20 April di kediaman pengantin lelaki di Taman Melawati, Hulu Klang.

Syamsul awalnya merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediaman wanita itu di Bandar Sri Damansara, Januari lalu.

-Misha Omar & Firos Ezzuwan Rossly

Penyanyi Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar memilih tarikh 2 Mei 2014 sebagai tarikh pernikahan dengan tunangnya, Firos Ezzuwan Rossly selepas menunda perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada November 2013.

Alasan Misha bagi menghormati pemergian ayah tersayang yang kembali ke rahmatullah.

Misha memilih tarikh itu kerana mahu memenuhi permintaan ibunya yang mahu majlis bersejarahnya diadakan pada bulan Rejab.

Majlis pernikahan diadakan di Hotel Renaissance Kota Bahru, Kelantan pada sebelah pagi manakala majlis resepsi berlangsung pada sebelah malam di tempat yang sama.

-Fizz Fairuz & Almy Nadia

Pasangan yang menyemai cinta lebih tujuh tahun ini pernah putus cinta akibat orang ketiga. Malah Fizz sempat bertunang dengan wanita bernama Azlyn Massiela Mohd Nazar yang berasal dari Kuantan.

Namun kerana jodoh mereka kuat, mereka selamat melangsungkan pernikahan di Pulau Pinang pada 26 April lalu.

Almy menerima wang hantaran RM20,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang barangan hantaran serta berbalas 11 dulang hantaran.

-Jaclyn Victor & Shawn Rivera (Az Yet)

Penyanyi Gemilang, Jaclyn Victor membuat kejutan apabila mengumumkan dirinya sudah berkahwin dengan anggota kumpulan R & B terkenal, AZ Yet, Shawn Rivera, 40, pada 19 Julai lalu.

Majlis bersejarah ini berlangsung di sebuah gereja di Philadelphia, Amerika Syarikat dengan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Jac mengakui, mereka sudah berkenalan sejak lebih setahun yang lalu di studio KRU. Selepas itu, Shawn memberanikan diri melamarnya pada bulan Ogos tahun lalu.

Tidak berniat menyembunyikan tentang perkara ini, Jac akui dia lebih sukakan privasi.

-Alif Satar & Sha Dila

Penyanyi dan pengacara, Alif Satar dengan sekali lafaz sah bergelar suami kepada Sha Dila Halid dengan berwalikan ayah kandung Sha, Halid Mohamad pada jam 11.40 pagi, 15 Ogos lalu.

Pada majlis yang berlangsung serba sederhana di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, Sha Dila menerima mas kahwin RM80 dan dihadiahkan wang hantaran sebanyak RM19,000.

Majlis yang diadakan secara tertutup ini dihadiri oleh ahli keluarga serta rakan-rakan kedua-dua belah pihak mereka.

-Atilia & Adam Sofian Mazlan

Selepas tujuh tahun hidup sendiri ,penyanyi Atilia selamat melangsungkan pernikahan pada jam 11 pagi, 31 Ogos lalu dengan Adam Sofian Mazlan di Saujana Gold & Country Club, Kuala Lumpur.

Atilia memberitahu bahawa pernikahan mereka dirancang sejak tiga minggu sebelum tarikh bersejarah itu disebabkan kesibukan masing-masing.

Kira-kira 160 orang tetamu hadir pada majlis pernikahan Atilia yang diadakan secara sederhana dan dihadiri keluarga dan teman rapat.

-Jimmy Shanley & Mariam Jamilah

Selepas turun naik mahkamah menguruskan masalah perkahwinan terdahulunya, pengacara dan penyampai radio Ultra FM, Jimmy Shanley akhirnya sah bergelar suami kepada Mariam Jamilah Abdul Jalil dengan sekali lafaz.

Pasangan itu diraikan dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam pada 7 Jun lalu.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, menyerahkan mas kahwin RM1,000 manakala wang hantaran RM15,000.

Rombongan lelaki turut membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan. Pada majlis itu, Jimmy turut menitiskan air mata dan menangis ketika membacakan lafaz taklik di hadapan ayah pengantin perempuan.

Pasangan pengantin kelihatan menawan dalam persalinan berona putih daripada butik Citra manakala solekan daripada jurumekap Siti Saleha.

Majlis turut dihadiri 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

-Ruminah Sidek (Mak Mah) & Al Fatah Rahim

Usia emas ternyata bukan penghalang buat pelakon veteran Ruminah Sidek, 68, atau lebih dikenali sebagai Mak Mah untuk melangsungkan perkahwinan yang keempat dengan pasangannya, Al Fatah Rahim, 70.

Dengan sekali lafaz, Ruminah sah bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu.

Majlis akad nikah yang berlangsung pada 17 Mei itu disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As-Syarif, Mohd Jani Salman di rumah abang ipar Ruminah di Taman Berkat, Meru, Klang pada jam 9.20 pagi.

-Tengku Azura & Ramelle Ashram

Supermodel Malaysia dan juga pelakon filem Bunohan, Tengku Azura, 39, selamat bergelar isteri kepada Ramelle Ashram, 35.

Ramelle yang juga adik ipar pelakon Fasha Sandha sudah berkenalan lebih dua tahun sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk bersatu sebagai suami isteri.

Memilih tarikh 25 Mei, majlis pernikahan diadakan secara ringkas dengan tetamu yang hadir terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat rapat.

Tengku Azura sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dan ini adalah perkahwinan keduanya begitu juga dengan Ramelle yang sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Diana Johor.

-Farhan Af & Ahmad Rashadan

Hanya sekali lafaz, penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia 4, Nurfarhan Azizan, 30, sah menjadi milik Ahmad Rashadan Mohamad Suhaimi, 30, pada jam 10.15 pagi 10 Oktober lalu.

Majlis pernikahan yang ringkas dan sempurna itu diadakan di Masjid Al Hasanah Bangi. Mempelai dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam, Zainal Abidin Yusof serta berwalikan ayah pengantin perempuan Azizan Mohd Khir.

Selain mas kahwin RM300, Farhan turut menerima tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan.

-Erin Malek & Darriz Fauzy

Erin Malek yang awalnya merancang untuk bernikah pada 10 Januari 2015 dan menukar tarikh nikahnya itu kepada 10 Oktober lalu.

Juara Fear Factor musim kedua itu selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Farriz Fauzy, 30, tepat jam 9.13 malam.

Mereka dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Yusof manakala walinya ialah bapa Erin Tidak menyesal berkahwin pada usia muda, pelakon berusia 20 tahun itu bersedia menimang cahaya mata jika ditakdirkan hamil awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:03 AM