TEMPAT parkir motosikal menjadi sasaran segelintir penduduk yang mencampak sampah dari tingkat atas.
SOFA usang dan rosak sengaja dibiarkan di penjuru bangunan dan tangga.
ANTARA gerai yang terdapat di PPR Seri Cempaka.
SUASANA sekitar kawasan PPR Seri Cempaka.
Siti Salmiah A Hamid


Dari jauh kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Jalan Kampung Pasir, Kuala Lumpur, ini kelihatan cukup gah dan cantik.

Bagaimanapun, sebaik memasuki kawasan rumah pangsa berkenaan, pemandangannya terlalu kontra terutama dari segi kebersihan, kesesakan dan sikap sesetengah penghuni yang terlalu pentingkan diri. Dan, suasana itu hampir serupa di semua kawasan PPR di Lembah Klang.

Itulah rumusan hasil tinjauan penulis ke PPR berkenaan, baru-baru ini, untuk menyelami kehidupan penghuni yang menyewa di kediaman berkenaan.

PPR diwujudkan untuk menempatkan semula setinggan selepas kawasan kediaman itu dirobohkan untuk memberi jalan kepada pelbagai projek pembangunan, selain mengatasi masalah dihadapi golongan berpendapatan rendah lain untuk menginap di kediaman lebih selesa.

Disebabkan kekurangan tanah, semua PPR di ibu kota adalah jenis rumah pangsa yang menyediakan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air.

Kawasan berkenaan turut dilengkapi infrastruktur seperti kedai, dewan, surau, tadika, malah ada yang mempunyai Klinik 1Malaysia.

Bagaimanapun, dalam tempoh singkat selepas PPR dihuni, kawasan perumahan itu menjadi terlalu padat dengan penduduk hingga menjejaskan keselesaan penghuninya.

Masa yang diambil penulis untuk mencari tempat meletak kereta selama setengah jam menggambarkan betapa sesaknya kawasan berkenaan dengan pelbagai kenderaan.

Memburukkan keadaan, sesetengah penghuni meletakkan pelbagai halangan di petak meletak kereta seperti memarkir motosikal, kon atau kerusi sedangkan ruang berkenaan bukan milik persendirian.

Kenderaan yang ‘melimpah’ di tepi jalan turut menyebabkan kesesakan selain segelintir penduduk meletak kereta menghalang kenderaan lain.

Sikap pentingkan diri itu pastinya melahirkan ketidakpuasan penghuni lain dan mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan sama kerana beranggapan ada orang memulakannya terlebih dahulu.

Lebih mengusutkan keadaan apabila banyak gerai dipacak sewenang-wenangnya di sepanjang jalan utama sehingga ke penghujung penempatan blok.

Tdak dinafikan, sebahagian pemilik gerai berusaha mendapatkan lesen perniagaan sah, namun ada yang beroperasi tanpa lesen. Sesetengahnya pula apabila diberikan lesen perniagaan, mereka mengaut keuntungan mudah dengan menyewakan tapak gerai kepada warga asing.

Itu belum termasuk soal kebersihan. Disebabkan sistem pembuangan sampah tidak teratur, longkang yang kurang terjaga dan tidak menjaga kebersihan gerai hingga menarik kedatangan haiwan perosak seperti tikus dan lipas.

Berkunjung ke tingkat atas, pelbagai hasil ‘seni’ menghiasi pemandangan di dinding rumah pangsa berkenaan menyebabkan ia kelihatan kotor dan mencacatkan pemandangan.

Bak kata pepatah, ‘indah khabar dari rupa’. Kawasan ini kelihatan bersih dan indah apabila dilihat dari jalan raya tetapi sangat ‘luar biasa’ apabila berada di kawasan PPR berkenaan.

Berada di beberapa tingkat sama ada di Blok E atau Blok F, situasinya tetap sama. Sesetengah penduduk meletakkan sampah sarap di depan pintu rumah atau penghujung blok kerana malas turun ke tingkat bawah untuk dibuang ke dalam tong sampah disediakan.

Tambah menjijikkan, mereka sanggup membiarkan sampah berair hingga mengeluarkan bau busuk dan berulat di depan rumah kerana beranggapan pekerja penyelenggaraan akan mengutipnya.

Ada juga yang membiarkan sampah lain seperti perabot lusuh, serpihan kayu perabot, barangan kaca dan bahan terbuang lain seperti kasut dan pakaian dilonggokkan sama ada di hadapan rumah atau penjuru berdekatan tangga.

Tiada salahnya jika tuan rumah (walaupun menyewa) ringan tulang mengemaskan kawasan berkenaan setidak-tidaknya di rumah sendiri.

Sikap buruk itu menyebabkan walaupun baru memasuki tahun ketujuh mereka menghuni kediaman itu, kawasan berkenaan tak ubah seperti sudah didirikan puluhan tahun.

Penulis akui tidak semua penghuni memiliki sikap buruk itu, namun lebih baik mereka kembali bermuafakat bagi memastikan kebersihan dan keselamatan di PPR berke naan terjamin, sekali gus menjadikan kawasan itu selesa untuk dihuni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 5:34 AM