FAZURA
FAZURA
SARA Ali
SARA Ali
Oleh Norhadiani Baharom

Episod kedua Facing Up To Fazura yang membicarakan topik persahabatan di antara aktres Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura dengan kenalan dalam industri hiburan khabarnya membuatkan pihak tertentu kurang bersetuju dengan pendedahan yang dilakukannya terutama membabitkan konflik dengan pelakon Sara Ali.

Melalui siaran minggu kedua program terbitan E! Asia (Astro 712) yang ditayangkan Ahad lalu, segelintir individu memberikan maklum balas di mana adalah lebih baik jika konflik di antara Fazura dan Sara tidak didedahkan memandangkan sengketa mereka tidak diketahui umum.

Pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia ini ketika dihubungi berkata, apabila bercakap mengenai program realiti sudah tentu dia perlu jujur dengan setiap topik yang dikemukakan.

"Kalau diamati kenyataan saya di dalam program berkenaan saya tidak ada niat langsung memburukkan Sara. Saya cuma bercakap mengenai persahabatan kami yang semakin renggang kebelakangan ini. Hal itu juga sering ditanyakan peminat yang agak hairan kenapa sudah lama tidak melihat kelibat kami berdua.

"Namanya juga program realiti TV, maka saya perlu bercakap hal yang benar-benar berlaku dalam kehidupan saya. Kalau saya tidak jujur bererti lari daripada konsep program ini," katanya.

Fazura menjelaskan, dia dan Sara ada berhubung sekitar November lalu dan berjanji untuk bertemu selepas dia kembali dari Bosnia-Herzegovina iaitu pada 17 November lalu.

"Dalam perbualan itu, kami baik-baik saja. Kami juga mengakui merindui antara satu sama lain.

"Saya juga ada meminta maaf jika saya ada berbuat salah dan begitu juga dengan Sara. Pada tarikh berkenaan juga, saya sebenarnya ingin memanfaatkan peluang untuk bertanyakan kebenaran berhubung cakap-cakap orang sekeliling yang mendakwa memburuk-burukkan saya.

"Saya boleh saja percaya cakap orang tetapi saya memilih untuk bertanya sendiri. Namun, tiba tarikh 17 November itu, tiada khabar berita daripada Sara hinggalah sekarang. Bahkan terdengar pula cerita baru saya kononnya banyak buat salah dengan dia, walhal sebelum ini dia mengakui buat salah dengan saya," katanya.

Fazura berkata, Sara turut diundang bahkan sudahpun memberi persetujuan untuk muncul dalam episod kedua Facing Up To Fazura itu, namun dia tidak memberi maklum balas ketika pihak penerbitan membuat pengesahan pembabitannya dalam program berkenaan.

"Sara diundang tampil di dalam program berkenaan untuk kita sama-sama mencari jalan damai. Namun apabila dia tidak mengesahkan kehadirannya dan pihak produksi terpaksa meneruskan rakaman dan hanya saya saja yang muncul, pastinya keadaan itu nampak seperti kebenaran berpihak kepada saya.

"Orang luar tidak tahu sebenarnya untuk episod berkenaan, pihak produksi sudah berusaha melibatkannya supaya tidak timbul isu seperti ini," katanya.

Facing Up To Fazura yang mula ditayangkan pada 14 Disember lalu diterbitkan oleh penerbit sama bagi program realiti Filipina, It Takes Gutz to be Gutierezz, Karen Wiggins.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:04 AM