Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: "Ada juga yang pelik melihat golongan OKU seperti saya mampu menguruskan kafe dengan rakan.

“Tetapi mereka sebenarnya amat teruja dan seronok kerana tidak sangka bahawa OKU juga mempunyai kemampuan dan keupayaan seperti orang normal.”

Itu komen penuntut OKU pekak dan bisu, Kolej Komuniti Selayang, Tay Ming Wei, 21.

Dia bersama tiga rakannya yang juga penuntut OKU mengambil peluang menimba pengalaman dan pendedahan dengan mengendalikan kafe hipster, Inspired Kitchen.


SUASANA di Kafe Inspired Kitchen yang dikendalikan penuntuu OKU Kolej Komuniti Selayang. Mereka menjual makanan berharga RM5 pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Munira Abdul Ghani

Kafe ini berada di booth Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, yang berakhir hari ini.

Tay berkata, dia tidak kisah dengan pandangan orang ramai yang kadangkala mempunyai persepsi berbeza terhadap OKU.

"Bagi saya, ia adalah perkara biasa yang perlu dilalui OKU. Saya tidak peduli apa pandangan mereka tetapi hanya melemparkan senyuman mesra," katanya ketika ditemuramah menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan pensyarah kulinari, Fazlilawati Fadzil.

Kafe hipster itu adalah sebagai projek keusahawanan yang dijalankan oleh Kolej Komuniti Selayang untuk penuntut OKU terdiri mereka yang mengalami masalah pembelajaran.

Apa yang menjadi tarikan utama pelanggan ialah harga yang ditawarkan untuk semua makanan dan minuman hanya serendah RM5 seperti Bread Butter Pudding, pasta Aglio Olio, Coney Dog serta pelbagai jenis kopi.

Semua penuntut terbabit diselia oleh tiga pensyarah termasuk Ketua Unit Keusahawanan kolej berkenaan, Mohd Tasuan Tiahat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 2:18 PM
PENUNTUT OKU pekak dan bisu dari Kolej Komuniti Selayang bersama produk yang mereka hasilkan untuk pengunjung PAU 2016. FOTO Munirah Abdul Ghani