ZUKRI bersama pemenang kedua, Suracher Sun Jui (kiri) dan ketiga, Azizul Azli.
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Norazimah Narudin

Johor Bahru: Peserta Polygon Malaysia Racing Team dari Selangor Mohd Zukri Tahir, 37, diumumkan juara keseluruhan kategori Lelaki Junior Master (36-44 tahun) selepas mengumpul 28 mata pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai semalam.

Mohd Zukri yang juga anggota Rejimen Semboyan Diraja Tentera Darat (TD) Kem Sungai Besi itu turut muncul sebagai naib johan kategori Lelaki Junior Master (36-44 tahun) sirkit akhir dan membawa pulang RM2,200, piala dan medal bagi kedua-kedua kategori yang dimenangi.

Mengakui trek sepanjang 35 kilometer itu sebagai trek paling mencabar dalam HMMTB Grand Prix tahun ini, Mohd Zukri berbangga dapat menamatkan kayuhan dengan catatan 1:37:07, ketinggalan 7:22 saat di belakang juara Surachet Sun Ji dari Thailand All Star yang mencatat 1:30:29.

“Bagi kejohanan HMMTB tahun ini, saya memang menyasarkan untuk naik podium bagi kategori keseluruhan, perasaan saya amat teruja dan gembira bila matlamat saya tercapai. Kejayaan ini setimpal dengan usaha latihan saya selama ini dan kesungguhan saya berkayuh di dua program HMMTB di Kulim Kedah dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Trek di UTM ini memang pendek berbanding sirkit sebelum ini, tapi cabaran di trek ini memang hebat, ada kawasan berlumpur dan berbukit sehingga tidak boleh langsung di kayuh dan terpaksa menolak basikal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang HMMTB di UTM semalam.

Katanya, saingan di peringkat awal amat sengit namun selepas tiba di pertengahan, ramai peserta yang mula kekurangan stamina.

“Pada awal-awal kayuhan saingan memang sengit, di pertengahan barulah saya boleh meninggalkan pelumba lain, latihan kayuhan stamina yang saya lakukan selama ini berbaloi,” katanya.

Sementara itu, juara kategori berkenaan Surachet Sun Jui dari Thailand All Star menganggap teknikal dan trek kali ini memberi kelebihan kepadanya.

“Walaupun trek kali ini agak pendek, tetapi dengan keadaan bukit yang lebih banyak, ia amat menguji kebolehan saya dan skil teknikal amat diperlukan.

“Dengan kepakaran inilah saya rasa membantu untuk saya menjuarai kategori Men Junior Master ini,” katanya.

Menurut Surachet, pengalamannya menyertai kejohanan berbasikal sejak 2005 amat berguna apatah lagi kejayaan muncul juara pada acara terdahulu membuatkan dia lebih bersemangat untuk terus bertanding.

“Saya tidak akan berhenti berkayuh. Minat saya ini akan saya teruskan sampai bila-bila dan akan cuba lagi dalam acara pada tahun-tahun akan datang,” kata pekerja kedai basikal di Thailand itu.

Dia menganggap catatan masa yang dilakukannya semalam antara rekod terbaik dirinya memandangkan trek di UTM itu juga antara yang paling mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:12 AM