Tay (kanan) bersama rakannya menunjukkan menu yang menjadi tarikan Kafe Inspired Kitchen.
Nasharuddin MuhammadMohd Nasif BadruddinHairulazim Mahmud dan Siti Fatimah Hassan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: “Ada juga yang pelik melihat golongan orang kurang upaya (OKU) seperti saya mampu menguruskan kafe dengan rakan lain tetapi mereka sebenarnya amat teruja dan seronok kerana tidak sangka OKU juga mempunyai kemampuan dan keupayaan seperti orang normal,” kata pelajar OKU pekak dan bisu dari Kolej Komuniti Selayang, Tay Ming Wei, 21.

Dia bersama tiga lagi rakannya yang juga pelajar OKU mengambil peluang menimba pengalaman dan pendedahan dengan mengendalikan kafe hipster, Inspired Kitchen di booth Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang berakhir, semalam.

Tay berkata, dia tidak kisah dengan pandangan orang ramai yang kadang-kala mempunyai persepsi berbeza terhadap OKU, sebaliknya hanya menganggap ia perkara biasa.

“Bagi saya, ia perkara biasa yang perlu dilalui seorang OKU. Saya tidak mempedulikan apa pandangan mereka tetapi hanya melemparkan senyuman mesra,” katanya ketika ditemuramah menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan seorang pensyarah kulinari, Fazlilawati Fadzil.

Kafe hipster itu adalah projek keusahawanan dijalankan Kolej Komuniti Selayang untuk pelajar OKU terdiri daripada pelajar pekak dan bisu serta yang mengalami masalah pembelajaran.

Lebih menjadi tarikan utama pelanggan ialah harga yang ditawarkan untuk semua makanan dan minuman hanya RM5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:22 AM