KEADAAN kereta yang terbalik. FOTO Rosli Ilham


Dungun: Remaja maut, manakala ayah, ibu dan adiknya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Jongok Batu-Kuala Jengai, dekat Kampung Belimbing, Pasir Raja, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, Tengku Md Asri Tengku Zaida @ Tengku Zainal, 14, maut di tempat kejadian.

Tiga yang parah ialah ibu bapa mangsa, Tengku Zaida @ Tengku Zainal Tengku Hamzah, 43, dan Wan Siti Rokiah Muzlan, 41,serta adik mangsa, Tengku Riduan Zafri Tengku Zaida @ Tengku Zainal, 4.

Kejadian berlaku apabila kereta dinaiki keluarga itu dipercayai terbabas sebelum terbalik dalam keadaan semua tayar ke atas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang berkata, sepasukan tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

"Semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan. Mereka yang parah kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.

"Mayat mangsa pula dibawa anggota polis ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 10:42 PM