AZHARINA diumumkan juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3). FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Tuah berpihak kepada Azharina apabila diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Azharina, 31, menewaskan lima peserta lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000, menghasilkan single baru terbitan Astro, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000, pakej percutian ke Itali bernilai RM15,000, rantai mutiara bernilai RM30,000, pakej penginapan di The Presidential Suite, The Puteri Pacific Hotel Johor Bahru dan baucer barangan tunai Go Shop bernilai RM6,000.

Penyanyi itu memberikan persembahan mantap membawakan lagu Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang.

Tempat kedua dimenangi Siti Sarah yang mendapat wang tunai RM50,000 dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Siti Sarah turut mengungguli kategori Persembahan Pilihan Penonton menerusi undian SMS dan membawa pulang RM5,000.

Manakala pemenang tempat ketiga, Zarul menerima wang tunai RM30,000 dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Ameng pula mendapat tempat keempat menerima wang tunai RM15,000.

Tempat kelima dimenangi Intan Sarafina, membawa pulang RM10,000.

Berada di kedudukan terakhir, G-Mie yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Semua peserta turut menerima trofi, pakej percutian, rantai mutiara dan baucer barangan tunai Go Shop.

Hadiah disampaikan oleh pengasas Pamoga Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dan Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad Ramli.

Sepanjang lapan minggu Gegar Vaganza bersiaran, enam penyanyi lain yang turut terbabit ialah Razis Ismail, Rem, Elly Mazlein, Shidi, Zur Eda dan Nora.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta dua juri jemputan iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Hetty Koes Endang.

Peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri.

Program itu dikendalikan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 12:07 AM