PADA usia 11 tahun, Yoyo sudah hasilkan 5 album Mandarin, kini rakam lagu Melayu pula.
PADA usia 11 tahun, Yoyo sudah hasilkan 5 album Mandarin, kini rakam lagu Melayu pula.


Biarpun baru berusia 11 tahun, Yoyo mempunyai impian besar untuk bergelar penyanyi terkenal.

Siapa sangka, anak jati Taiping, Perak ini sudah memulakan karier nyanyian sejak berusia tiga tahun dan mempunyai lima album Mandarin di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd (SRC).

Menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya, Yoyo atau nama sebenarnya Yoyo Cheow Beng Yo gemar menyanyikan lagu artis pujaannya termasuk Tan Sri P Ramlee, Liza Hanim dan Eddy Silitongga.

Bukan hanya pandai menyanyikan lagu Melayu dan Mandarin, Yoyo juga boleh menyampaikan lagu Inggeris, Tamil, Hokkien, Hakka, Thai dan Kantonis dengan baik.

“Saya menyanyi sejak berusia tiga tahun. Ketika itu saya menyertai pertandingan nyanyian anjuran rakan ayah dan menang menerusi lagu Madu dan Racun dendangan asal Tan Sri P Ramlee.

“Saya selalu mendengar dan menyanyikan lagu klasik Melayu kerana datuk dan nenek gemar filem Melayu ,” katanya yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan kakak sulungnya di rumah.

Kata Yoyo, selepas menghasilkan lima album Mandarin, dia mahu mencuba nasib dengan menerbitkan album Melayu diberi judul Gadis & Bunga.

Album itu memuatkan 10 lagu yang pernah dipopularkan penyanyi terkenal tanah air dan diberi nafas baru oleh Yoyo.

Kata Yoyo, tujuan dia dan syarikat rakamannya berbuat demikian adalah untuk memperkenalkan kepada khalayak bahawa dia mampu menyampaikan lagu Melayu dengan baik.

“Sebenarnya saya sudah lama bertapak dalam industri, tetapi hanya tertumpu kepada pasaran Cina. Melihat kebolehan saya bertutur bahasa Melayu dengan fasih, Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke menyarankan saya merakamkan album ini.

“Selepas album ini, saya akan menyusul dengan single Melayu pertama. Sudah siap dirakam cuma menanti masa sesuai untuk diperdengarkan,” katanya.

Ditanya mengenai komitmennya sebagai pelajar, Yoyo berkata, setakat ini dia masih mampu membahagikan masa dengan baik, malah persekolahannya tidak terganggu meskipun memenuhi undangan persembahan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, rakan-rakan di sekolah juga tidak ramai yang tahu dia penyanyi.

“Hanya kawan rapat saja yang tahu saya ada album dan aktif menjayakan persembahan. Bukan apa, saya lebih selesa begini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:00 AM