MARYAM Nabilah.
BARISAN pemenang Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016.
REKA bentuk gudang pemecahan kapal.
GAMBARAN seni binanya secara keseluruhan.
Fatin Farhana Japre


Idea unik barisan arkitek dan pereka bentuk dalaman pada pertandingan Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016 anjuran Nippon Paint Malaysia bersama IJM Land sangat menakjubkan.

Peserta bukan hanya kreatif pada aspek penciptaan dan idea malah turut mengambil kira aspek penyampaian idea serta komunikasi efektif.

Penulis mengambil peluang menemu bual Maryam Nabilah Zamalik dari Asas Architects, 27, yang memenangi anugerah emas bagi kategori profesional muda.

Ideanya membaik pulih tempat pemecahan kapal di Chittagong, Bangladesh mendapat perhatian juri kerana ia menyumbang kepada komuniti dan persekitaran yang tercemar.

Maryam Nabilah berkata, ideanya ini bertujuan membantu komuniti di kawasan sekitar dengan menyelaraskan pengurusan dengan lebih teratur.

“Selain tempat pemecahan kapal, saya mahu membina hospital dan gudang supaya penempatan teratur serta kebajikan pekerja Bangladesh lebih terpelihara.

“Tambahan pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggap aktiviti pemecahan kapal sebagai pekerjaan paling berbahaya.

“Di persisiran pantai pula, saya mencadangkan pembersihan minyak, penapisan air dan penanaman alga bagi proses pembersihan laut secara semula jadi dalam jangka masa lima tahun.

“Saya sendiri tidak menjangka menang anugerah emas dan akan terus mengasah bakat yang ada untuk memberi hasil yang terbaik,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Kebolehan Maryam Nabilah memang tidak boleh disangkal kerana dia memang meminati bidang seni bina sejak kecil. Kini dia baru saja menamatkan pengajian dalam program Sarjana Seni Bina dari Universiti of Lincoln, United Kingdom dan sedang menanti tawaran pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

“Sementara menanti tawaran melanjutkan pengajian, saya bekerja sepenuh masa sebagai arkitek di Asas Architects. Bagi saya, inilah masa untuk praktikkan apa yang dipelajari selama ini.

“Sebenarnya profesion sebagai arkitek sangat menarik kerana kita bukan saja belajar berkaitan seni bina malah mengenai komuniti, persekitaran dan teknologi,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:10 AM