MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) diiringi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaacub (kiri) mencuba telefon MyFon di majlis penyerahan MyFon kepada pihak Sekolah Kebangsaan Machang (2) di sini. FOTO Mohd Faris Zainuldin
Maiamalina Mohamed Amin


Machang: Keutamaan khidmat sokongan dan pembelaan akan diberi kepada mana-mana guru yang berdepan tindakan mahkamah akibat perbalahan dengan ibu bapa yang tidak puas hati ketika bertugas.

Ia selaras dasar kerajaan yang melindungi semua penjawat awam di Malaysia termasuk kira-kira 430,000 di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak akan lepas tangan jika sesuatu berlaku kepada guru terutama yang disaman kerana ketidakpuasan ibu bapa murid.

"Guru seperti juga penjawat awam yang lain, mereka tahu bahawa mereka dilindungi ketika bertugas, dan jika berlaku apa-apa, mereka akan dilindungi.

"Termasuklah jika disaman kerana kerana perbalahan, kementerian akan sentiasa membela guru dan memberi sokongan sewajarnya kepada mereka termasuk guaman.

"Saya tekankan perkara ini supaya semua guru lebih sedar dan segera berhubung dengan kementerian sekiranya berdepan keadaan begini.

"Mereka kena tahu bahawa mereka tidak keseorangan dalam hal ini," katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Guru Bersama Masyarakat Peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Machang 2, di sini.

Dalam pada itu, Mahdzir turut memaklumkan sebanyak 9,000 guru yang tergolong dalam kelompok "guru duka lara" sudah ditukarkan bagi tempoh Januari hingga Disember ini.

Katanya, guru duka lara adalah kumpulan guru yang berkhidmat secara berjauhan daripada pasangan atau keluarga selama bertahun-tahun, dengan permintaan pertukaran paling adalah dari Kelantan dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:00 PM