Anggota bomba memecahkan mangga sebelum menemui mayat mangsa dalam bilik air. - Foto ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak dua hari lalu, berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas ditemui tersepit antara mangkuk tandas dan dinding bilik air di rumahnya di Flat Tambun di sini, hari ini.

Mayat, Lee Choon Lai, 49, ditemui selepas mangsa beberapa hari tidak keluar rumah menyebabkan jirannya yang bimbang, menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Azaddin Najamuddin berkata, anggota yang tiba di rumah berkenaan mendapati pintu depan rumah berkenaan berkunci.

Katanya, bomba kemudian mendapatkan kebenaran polis untuk memecahkan mangga pada pintu sebelum melakukan pemeriksaan dan menemui mangsa tersepit antara mangkuk tandas dengan dinding bilik air.

"Anggota terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mayatnya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 9:32 PM