WALCOTT (kanan) cedera sejak Januari lalu.
WALCOTT (kanan) cedera sejak Januari lalu.
Agensi

London

Masalah kecederaan Arsenal semakin berkurangan apabila pemain sayap Theo Walcott kembali turun berlatih manakala Olivier Giroud pula dijangka sembuh lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini.

Pemain antarabangsa England berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika Arsenal mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tottenham dalam saingan Piala FA Januari lalu.

Giroud, 28, tidak beraksi sejak Ogos lalu selepas kakinya patah ketika seri 2-2 menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Proses penyembuhan Giroud berlangsung dengan baik sekali," kata pengurus Arsene Wenger.

Penyerang Perancis itu dijangka sembuh awal tahun depan, bagaimanapun pengurus The Gunners berharap dia dapat kembali lebih awal dari jangkaan itu.

"Pembedahan berjalan dengan baik sekali. Saya percaya dia mampu sembuh lebih awal," kata Wenger.

Penyerang Jerman, Serge Gnabry juga kembali berlatih kelmarin selepas mengalami kecederaan lutut sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, The Gunners masih lagi tidak dapat menurunkan pemain tengah Mesut Ozil, Aaaron Ramsey dan Mikel Arteta serta pertahanan Mathieu Debuchy.

Giroud yang menyertai The Gunners dari Montpellier pada 2012 dan menjaringkan 16 gol musim lalu, berjaya menyumbat dua gol dalam empat aksi pertamanya termasuk jaringan penyamaan minit akhir di Goodison Park.

Sepanjang ketiadaannya, kelab utara London itu kehilangan mata dalam saingan EPL menentang Leicester, Manchester City dan Tottenham serta tumpas dalam perlawanan terakhir 0-2 kepada pendahulu liga, Chelsea.

Danny Welbeck berjaya diikat sejak Giroud mengalami kecederaan dan bekas penyerang Manchester United itu sudah menjaringkan empat gol termasuk hatrik ketika bertemu Galatasaray di Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal berada di tangga kelapan EPL dan akan menanti kunjungan Hull City Sabtu ini sebelum berkunjung ke Belgium bertemu Anderlecht dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 22 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:03 AM