TATIANA teruja sertai Miss World 2016.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Nama Tatiana Kumar tidak asing lagi dalam bidang ratu cantik.

Berbekalkan wajah menawan, fizikal menarik dan kemahiran komunikasi yang mantap membuatkan namanya meniti di bibir setiap peminat kecantikan di dunia.

Kini berada di Washington DC, Amerika Syarikat, Tatiana sempat berkongsi persiapannya menjelang Miss World 2016.

Dalam usia 18 tahun, Tatiana beruntung dikelilingi orang yang banyak memberi sokongan dan tip berguna untuknya.

Dia turut mendapatkan khidmat bekas pemenang ratu cantik dari Filipina untuk mengasah teknik berjalan di pentas peragaan, bergaya di hadapan kamera dan teknik komunikasi yang berkesan.

“Saya gembira dan teruja membawa nama Malaysia di mata dunia. Menyertai bidang ini bukan sesuatu yang mudah. Bersaing dengan ratu cantik dari negara lain cabarannya sungguh besar kerana masing-masing punya kelebihan dan kecantikan tersendiri.

“Namun, apabila sudah terbabit saya harus yakinkan diri dan pasti mampu bersaing dengan peserta lain. Saya mahu semua orang mengenali Malaysia di samping dapat memperkenalkan tempat menarik yang boleh dikunjungi orang luar ke Malaysia,” kata gadis berasal dari Kuala Lumpur ini.

Miss World 2016 berlangsung pada 18 Disember ini di Washington DC membabitkan 110 peserta dari seluruh dunia.

Terdahulu, sebelum berangkat dia turut berpeluang meraikan majlis minum petang bersama Persatuan Orang Kurang Upaya Malaysia (POKUAM), Karyawan dan beberapa organisasi lain.

“Saya gembira kerana berpeluang beramah mesra dengan organisasi berkenaan, malah Harrods sudi menaja lokasi dan majlis minum petang berkenaan. Kesempatan beramah mesra dengan mereka dan mendengar kata-kata semangat daripada semua meyakinkan saya untuk bersaing pada hari bersejarah itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:39 AM