Sarah Zulkifli


Kajang : Lima penduduk Taman Cheras Hartamas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam di kawasan projek pemasangan menara Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada Ogos lalu.

Mereka adalah Liong Chee Chew, 45; Yap Ah Tai, 67; Lam Guan Loong, 34; Yim Ah Ming, 52 dan Tan Teck Chye, 44, yang mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakandi hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan enggan beredar daripada kawasan berkenaan tanpa alasan munasabah selepas diarahkan pihak polis.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan projek pemasangan menara TNB, Jalan Cheras Hartamas 1, Taman Cheras Hartamas, Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Hulu Langat, di sini, jam 10 pagi, 9 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 1:48 PM