TIMBALAN Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Jalil Haasan (tengah) bersama peserta selepas program Kecelaruan Sosial Ancaman Dadah dan Perpaduan di UUM sebentar tadi. FOTO Rahmat Othman
TIMBALAN Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Jalil Haasan (tengah) bersama peserta selepas program Kecelaruan Sosial Ancaman Dadah dan Perpaduan di UUM sebentar tadi. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Sintok: Polis sudah memanggil mereka (polis) yang didakwa terbabit dalam kes pukul seorang tahanan untuk membantu siasatan dan akan cuba menjalankan siasatan seadil-adilnya untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan itu masih di peringkat awal dan akan dijalankan dengan lebih telus selain meminta laporan daripada pihak hospital untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang bersalah dan berilah peluang kepada pihaknya menjalankan siasatan berkaitan laporan berkenaan.

"Setakat ini kes siasatan sudah dibuka dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung apa yang didakwa mangsa berkenaan," katanya ketika ditemui pada Program Bicara Sosial Bersama Timbalan Polis Kedah di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang mekanik mendakwa dibelasah sehingga hampir pengsan oleh dua pegawai polis ketika dalam tahanan reman, malah disebat menggunakan kabel dalam usaha memaksa dia mengaku terbabit dalam kejadian samun.

Mangsa Muhammad Zul Farhan Zulkifli, 23, dari Kampung Alor Merah, di sini, berkata, kejadian berlaku jam 3.30 petang, 6 November lalu selepas dia ditahan sekumpulan enam anggota polis di sebuah bengkel motosikal milik rakannya di Taman Awana, Jalan Langgar.

Sementara itu mengulas program terbabit Abdul Jalil berkata, tujuan program yang turut dihadiri anggota polis, penghulu kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu diadakan untuk memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa ini tetap kukuh dan akan dibuat dari semasa ke semasa untuk mencapai matlamat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 2:20 PM