BUSTOS (tengah) melancarkan Benelli TnT135. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (Benelli Malaysia) pengimport, pengedar dan pemasang motosikal jenama Benelli di Malaysia melancarkan model terbaru TnT135 petang tadi.

Model dalam segmen Mini Bikes ini dikuasakan dengan enjin 135cc suntikan elektronik SOHC sejukan pelincir serta lima kelajuan dengan fork terbalik 41mm memberi kestabilan dan keselesaan ketika menunggang.

TnT135 juga mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia menawarkan tunggangan yang berkuasa serta penggunaan bahan api yang efisien.

Ketua Pegawai Pemasaran Global Benelli, Dante Richard Bustos berkata, motosikal ini disasarkan kepada penunggang muda daripada usia 18 hingga 25 tahun namun ia tetap menjadi pilihan buat pengguna pelbagai usia sebagai kegunaan harian.

“Ia sebuah motosikal yang seronok untuk ditunggang dalam masa yang sama mudah untuk dikawal serta kuasa yang tidak mengecewakan,” katanya.

Antara ciri lain ialah sistem eksoz oksigen, pensijilan Euro 4, Lampu LED penuh untuk lebih terang ketika tunggangan malam dan jelas ketika siang, serta brek cakera depan dan belakang.

Model ini didatangkan dengan dua pilihan warna dan grafik yang menarik iaitu merah dan putih dengan harga jualan asas RM7,990 yang boleh mula didapati esok di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 4:33 PM