Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Tindakan lelaki melarikan enam kotak rokok dari kedai serbaneka 24 jam di Jalan Anston di sini, Ahad lalu membawa padah selepas dia diberkas polis, 8.50 pagi tadi.

Dalam kejadian 5.40 pagi Ahad lalu itu, suspek, 24, turun dari kereta sebelum masuk ke dalam kedai serbaneka berkenaan dan mengambil enam kotak rokok yang diletakkan di atas rak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek kemudian terus melarikan diri menggunakan kereta yang dinaiki bersama dua rakannya.

Beliau berkata, pekerja kedai sempat mengejar mangsa dan mengambil nombor pendaftaran kereta.

Katanya, sejurus kejadian mangsa membuat laporan polis sebelum pihaknya menahan suspek di Taman Sukun, di sini, 8.50 pagi tadi.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa juga mengecam suspek selain wajahnya sama seperti dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 11:13 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki mengambil kotak rokok yang diletakkan di atas rak. FOTO ihsan Polis