RAMIREZ (kiri) jaring gol tunggal perlawanan.

Middlesbrough, England: Pemain Middlesbrough dari Uruguay, Gaston Ramirez meledak gol menentang bekas kelabnya Hull bagi memastikan kelab semasanya menang 1-0 pada pertembungan Liga Perdana, awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Middlesbrough, menang di laman sendiri kali kedua musim ini, melonjak empat mata di atas zon penyingkiran manakala Hull kekal di kelompok tiga tercorot selepas kekalahan kelima berturut-turut di gelanggang lawan.

Pengurus Middlesbrough, Aitor Karanka gembira dengan corak permainan pasukannya namun mengakui mereka perlukan lebih banyak persembahan sebegitu bagi memastikan beraksi musim kedua dalam liga elit itu.

“Kami mengumpul 15 mata, kami mesti bekerja keras dan bersatu hati,” ujar Karanka.

“Kami perlu bersaing dengan pasukan dalam zon penyingkiran kerana kami pendatang baharu. Kami belum melakukan apa-apa lagi,” jelas pengendali dari Sepanyol berusia 43 tahun itu.

Rakan sejawatnya di Hull, Mike Phelan berkata, mereka mungkin kekurangan sumber kewangan dan kakitangan namun terpulang kepada pemain untuk menghasilkan sesuatu di tengah padang.

“Kami sudah mencuba tapi ia tetap mengecewakan,” kata Phelan.

“Kami melepaskan gol bodoh menerusi sepakan percuma, kami mempunyai tugas tapi tidak memberikan tumpuan. Kami perlu bangkit selepas ini,” jelas pengendali Inggeris berusia 54 tahun itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:41 AM