TAMPIL sebagai pelakon komedi drama bersiri PU Wid.
Syafil Syazwan Jefri


Jika sebelum ini Altimet lebih dikenali sebagai rapper dan komposer, kini dia melebarkan sayap dalam bidang lakonan.

Menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD, Altimet membintangi drama bersiri PU Wid dan bergandingan dengan Kamal Adli.

“Dalam drama bersiri ini, saya melakonkan watak Tora, orang kanan kepada Widad lakonan Kamal Adli. Tidak terlalu berat, PU Wid bergenre komedi.

“Drama ini bersiaran setiap Khamis, jam 7.30 sejak 4 November lalu. Selepas drama 13 episod ini, insya-Allah akan ada lagi drama yang saya bintangi,” katanya.

Altimet berkata, dia tidak pernah me­nyangka akan beraksi depan kamera dan lebih menarik lagi tampil sebagai pelakon komedi.

“Tahun 2016 adalah pembuka kejaya saya sebagai pelakon dan pelawak. Memang sejak awal tahun lagi saya sudah nekad keluar dari zon selesa.

“Awalnya, saya ingin mencuba nasib dalam program Juara Parodi kerana ia ada kaitan dengan muzik walaupun teras utamanya adalah komedi.

“Program itu tiada tahun ini dan sebab itu Astro menawarkan saya mencuba nasib dalam program Super Spontan Superstar. Banyak benda baru saya belajar,” katanya.

Ditanya watak yang ingin dicuba dalam bidang lakonan, Altimet dambakan sesuatu di luar kotak.

“Kalau diberi peluang saya mahu watak antagonis sebagai bapa. Selain itu, saya juga mahu jadi lelaki lembut,” katanya.

Terbaru, Altimet tampil dengan single baru berjudul Amboi.

“Amboi buah ta­ngan terbaru ciptaan komposer Navigator manakala liriknya saya tulis sendiri. Ia berkisar perkara yang saya nampak di media sosial seperti gejala tidak sihat dalam kalangan remaja dan sebagainya.

“Mungkin ia nampak tidak penting, tetapi hakikatnya ia beri impak yang besar dalam kehidupan kita,” katanya.

Lebih menarik, Amboi turut menampil­kan nama besar dalam industri antaranya Joe Flizzow, SonaOne, Ucopppp, Syuk SYJ dan Azwan Ali.

“Dalam video muzik Amboi saya mengete­ngahkan beberapa artis termasuk Azwan Ali yang popular dengan ‘trademark’ ‘Amboi, amboi, amboi,’.

“Susunan muziknya juga lain di mana ada elemen hip hop dan dikir barat,” katanya.

Selain itu, Altimet turut hadir dengan single Seru yang menyasarkan pengikut setia muzik hip hop.

“Saya datang daripada komuniti hip hop sejati dan ramai peminat genre ini meminta lagu baru. Kebanyakan mereka tidak menggemari lagu yang dimainkan radio, jadi single ini saya edarkan secara online,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:06 AM