TEKNIK CGI digunakan untuk ‘menghilangkan’ orang ramai di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur.
SYAFIQ teliti dalam kerjanya.
SYAMSUL selaku teraju utama sebagai Aiman.
Syanty Octavia Amry


Giat menghasilkan karya hebat, pengarah muda Syafiq Yusof, 23, tampil dengan sebuah filem terbaru berjudul Desolasi yang mula ditayangkan esok.

Filem kelima arahannya itu dilihat lebih berat apabila menampilkan kisah kecelaruan seorang anak muda yang akhirnya didapati menghidap penyakit Anton-Babinski.

Anton-Babinski adalah sejenis penyakit yang membuatkan pesakit hilang ingatan. Jika lambat dirawat boleh membuatkan pesakit menjadi gila.

“Ia sejenis penyakit yang jarang-jarang kita dengar. Saya yakin penyakit ini dialami ramai golongan anak muda sekarang namun tidak ramai yang menyedarinya,” katanya.

Memilih penyakit ini untuk dipaparkan dalam filem yang mengetengahkan Syamsul yang juga abangnya sebagai tunjang utama, Syafiq mengakui ia tidaklah mudah.

Berkongsi pengalamannya mengarahkan filem yang menjalani penggambaran pada 2014 itu, Syafiq berkata, banyak cabaran harus dilalui.

“Ini adalah filem saya yang boleh dikatakan paling mencabar. Filem ini menggunakan hampir 60 peratus teknik imej janaan komputer (CGI).

“Selain itu, masalah cuaca tidak menentu ketika penggambaran antara sebab mengapa ia lambat ditayangkan. Saya mahu memastikan apa yang cuba disampaikan difahami penonton. Melalui CGI yang digunakan, saya harus teliti bagi memastikan setiap babak kelihatan lebih realistik,” katanya.

Syafiq berkata, mengetengahkan penyakit Anton-Babinski itu juga untuk berkongsi dengan penonton apa yang dia tahu.

“Penyakit ini jarang sekali kita dengar. Saya sendiri menggunakan penyakit ini sebagai salah satu plot cerita selepas mendengar cerita seorang kawan yang juga doktor yang merawat pesakit berkenaan.

“Selain itu, elemen kekeluargaan yang diterapkan juga sangat penting dan bagi saya, apa juga keadaan yang berlaku keluarga adalah keutamaan semua orang,” katanya.

Dalam pada itu, melihat babak ibu kota Kuala Lumpur menjadi kosong, Syafiq berkata, ia bukanlah perkara yang mudah.

“Apabila menjalani penggambaran di kawasan orang ramai pastinya kita mahu memperlihatkan suasana itu seperti benar. Namun, ketika hendak menampakkan ia kosong, saya perlu menggunakan teknik CGI kerana untuk menghentikan orang ramai daripada berjalan, saya hanya mempunyai waktu beberapa saat saja.

“Saya tidak boleh menahan kenderaan daripada bergerak, apatah lagi lokasi yang digunakan di kawasan paling sibuk di Kuala Lumpur seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Petaling,” katanya.

Selain Syamsul, Desolasi turut menampilkan lakonan Pekin Ibrahim, Bella Dally, Aida Khalidah dan Datuk Jalaludin Hassan.

Mengulas mengenai pemilihan Syamsul, Syafiq berkata, selain lelaki itu adalah abang kandungnya, dia melihat penjiwaan Syamsul terhadap karakter Aiman sangat jitu.

Desolusi mengisahkan Aiman yang mencari jawapan dalam persoalan hidupnya.

Dia yang juga seorang pelukis melalui pelbagai ujian dan dugaan sehingga membuatkan dirinya hilang arah.

Dirinya terus-menerus ditimpa masalah sehingga berlaku pertengkaran besar antara dia dan bapanya.

Pada satu pagi, Aiman mendapati dirinya keseorangan di dalam dunia tanpa manusia lain. Aiman terkejut dengan keadaan itu dan mula mencari jawapan dalam persoalan yang bermain di minda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:18 AM