AJAK golongan muda ekspresikan diri.
POETRY Slam menjadi medium bagi golongan muda mengetengahkan bakat menulis dan menyampaikan puisi.
ARISHA (kiri) bersama peserta yang membuat percembahan pada pertandingan berkenaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Penulis tertarik dengan matlamat kumpulan Poetry Cafe Kuala Lumpur (Poetry Cafe KL) yang terdiri daripada penyair dan pendidik dengan usaha mereka menyokong serta menggalakkan seni dalam kalangan anak muda terutamanya pelajar sekolah.

Bulan lalu, Poetry Cafe KL sekali lagi menganjurkan acara diberi nama ‘Poetry Slam’ iaitu platform bagi golongan muda mengekspresikan diri melalui seni yang diadakan di KuAsh Theater, Taman Tun Dr Ismail.

Acara yang turut mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi British itu memperlihatkan dua kategori berbeza iaitu sekolah rendah dan menengah secara solo atau berkumpulan.

Lebih 70 persembahan yang dipersembahkan terdiri daripada pelajar daripada 15 warganegara dari sekolah swasta dan antarabangsa dari seluruh negara.

Semua peserta yang membuat persembahan pada hari berkenaan penuh bersemangat dan kelihatan teruja mendeklamasikan setiap baris puisi.

Lebih menarik, puisi yang disampaikan hasil penulisan kreatif peserta mengikut tema yang diberikan iaitu warna.

Ahli Poetry Cafe KL, Arisha Akhir berkata, kumpulan itu akan terus memperkenalkan aktiviti seumpama ini bagi membentuk generasi muda untuk berkembang.

“Poetry Slam adalah salah satu aktiviti yang kami anjurkan bertujuan menggalakkan minat anak muda dalam mengekspresikan diri mereka.

“Melalui aktiviti ini, peserta bukan saja dapat meluahkan diri mereka melalui penghasilan dan penyampaian puisi, malah turut meningkatkan keyakinan dan perkembangan sosial,” katanya.

Menurutnya, Poetry Slam bakal diadakan dalam versi bahasa Melayu dijangka pada tahun depan di Pulau Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:43 AM