NAK muda cipta teknologi papan sirkit IoT untuk kenderaan tanpa pemandu.
KENDERAAN dikawal secara automatik.
ALAT khas dipasang pada stereng, pedal dan gear.
KENDERAAN mampu mengesan objek di keliling.
PAPAN sirkit boleh dipasang pada mana-mana kenderaan.
UJIAN Reka Studios membuktikan kenderaan memahami persekitaran.
KENDERAAN mampu berhenti secara automatik apabila dikehendaki.
KHAIRUL (kiri) dan Haziq gemar mencipta.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Ketika segelintir anak muda bergelumang dengan kehidupan merempit, dua anak muda berpadu tenaga menghasilkan teknologi mantap yang boleh mengubah landskap industri automotif pada masa depan.

Pada awalnya, Muhammad Haziq Faris, 26, bekerja di Amerika Syarikat manakala Khairul Muzzammil, 31, mencari rezeki di Korea Selatan namun atas dasar minat kepada penciptaan inovasi kedua-duanya bertemu dan membangunkan syarikat Reka Studios pada 2013.

Masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri. Haziq pakar dalam perkakasan manakala Khairul hebat dalam perisian.

Hasilnya, anak muda Malaysia ini berjaya mencipta papan sirkit yang mampu mengawal kenderaan, sekali gus merealisasikan hasrat kenderaan tanpa pemandu pada masa depan.

Ketua Pegawai Teknologi Reka Studios, Muhammad Haziq Faris berkata, ciptaan papan sirkit bersama Khairul boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan.

“Kami mahu tunjukkan papan sirkit kami boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan tidak kira model lama atau baru kerana ia akan membaca dan disambungkan pada pedal dan gear saja.

“Setakat ini kami mengujinya dengan Proton Waja dan ia berjaya,” kata Haziq yang menyertai pelbagai pameran dan karnival berkaitan pencipta dan kejuruteraan.

Reka Studios juga pernah membuat demonstrasi kenderaan tanpa pemandu di Karnival Pencipta dan Inovasi Selangor 2016 (SMIC 2016) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Khairul berkata, papan sirkit dengan aplikasi sedia ada boleh membaca otak manusia dan berinteraksi dengan mereka.

“Misalnya, ia akan mengesan individu kerana bertindak seakan-akan mata dan memberi salam ketika individu terbabit masuk dalam kenderaan tanpa pemandu itu,” katanya.

Katanya, mereka menerapkan konsep mekanikal yang boleh dimasukkan kenderaan berkomputer atau tidak, berlainan dengan konsep kenderaan Google dan sebagainya.

Mengulas mengenai perjalanan syarikat, Haziq berkata, Reka Studios tidak memperoleh mana-mana dana dan bergantung kepada sumber pendapatan sendiri seperti mengajar kelas pengekodan, kerja membangunkan laman web dan aplikasi.

“Sumber terbabit digunakan untuk membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi asas syarikat,” katanya.

Khairul pula berkata, kekuatan Reka Studios terletak pada analisis video kecerdasan pintar (AI) yang menjadi ‘otak’ kepada papan sirkit kenderaan tanpa pemandu.

“Ia juga dipasang di CCTV dan bukan saja merakam, tetapi mengenali wajah yang masuk dalam skrin,” kata Khairul.

Katanya, papan sirkit tanpa pemandu Reka Studios akan memahami dan mengesan objek di depan sebelum membuat keputusan sendiri.

Konsep kenderaan tanpa pemandu lain seperti Google Car membabitkan papan elektronik seperti dimuatkan dalam kawalan ‘cruise’ dan kenderaan wajib mempunyai sistem elektronik namun ciptaan Reka Studios jauh berbeza.

“Ia kerana kami memperkenalkan konsep mekanikal yang bermakna sirkit boleh dipasang bagi kenderaan baru atau lama tanpa membabitkan sistem elektronik.

“Papan sirkit akan terus dipasang pada pedal minyak, gear dan stereng yang menjadikan kami berbeza daripada yang lain,” kata Khairul.

Haziq memaklumkan, sasarannya mahu melihat pengguna di Malaysia boleh memasang papan sirkit kenderaan tanpa pemandu pada kenderaan masing-masing tanpa perlu menukar kepada kenderaan lain.

“Cukup sekadar memasangnya pada kenderaan masing-masing dan sistem pemanduan automatik terus diaktifkan,” katanya.

Kenderaan ini mempunyai otak dan dikaitkan dengan Internet untuk semua (IoT) yang boleh membuat keputusan sendiri kerana ia memahami apa yang ada dalam bandar dan meminimumkan pembabitan manusia.

“Boleh dikatakan ia papan IoT pertama dibangunkan di Malaysia,” katanya.

Menurut Khairul, syarikatnya sudah menghantar permohonan harta intelek (IP) kepada pihak berkenaan.

“Kami bergerak secara perlahan-lahan, idea sudah lama ada dalam kepala cuma ia mengambil masa dengan sumber terhad yang kami ada,” katanya.

Menurut Haziq, R&D beroperasi lancar dan selepas mengambil masa, papan sirkit terbabit berjaya disiapkan dengan bantuan kilang di Shenzhen iaitu rakan kongsi industri di samping kilang berskala kecil yang dimiliki mereka di Melaka.

“Cara kami kumpul wang dengan membahagikannya kepada gaji dan menetapkan sejumlah lain bagi membangunkan produk kami kerana R&D tidak mempunyai had masa, jadi mudah bagi kami menyiapkannya,” katanya.

Khairul pula berkata, teras bagi perniagaan Reka Studios adalah penyelidikan, jadi sumber yang mereka miliki cukup untuk merealisasikan idea.

“Reka Studios juga membuat penyelidikan untuk syarikat lain yang ingin menguji produk masing-masing,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua jenis pelanggan iaitu syarikat yang mempunyai masalah dengan produk mereka dan mahu mengkaji punca serta penyelesaiannya atau syarikat yang mahu membangunkan produk sendiri.

Reka Studios mempunyai 20 pekerja sepenuh atau separuh masa membabitkan penyelidik.

“Ada penyelidik separuh masa yang datang untuk membuat penyelidikan atas dasar minat,” kata Khairul.

Sehingga kini, Reka Studios sudah membantu pembangunan lebih 100 produk.

“Kebanyakannya dalam bentuk prototaip kerana ia lebih murah, tapi ada pakej untuk menghasilkan produk terus siap namun beberapa pelanggan mungkin menghadapi masalah kerana kebanyakan dana diperoleh setakat prototaip saja,” kata Khairul.

Haziq berkata, Reka Studios berhasrat untuk membangunkan kilang yang lebih besar di Melaka pada tahun depan.

“Rakan kongsi industri di China boleh menghasilkan produk berkualiti yang mana jaminannya menjangkau sehingga setahun, tetapi kalau ada kilang sendiri lebih baik.

“Kami ingin membuktikan produk dihasilkan di Malaysia juga berkualiti tinggi dan menyanggah pendapat ramai yang kata produk luar lebih baik kerana ada skil bertaraf dunia yang mampu menghasilkan produk terbaik,” katanya.

Kedua-dua rakan ini menyertai komuniti ‘Makers’ yang kebanyakan mereka mencipta produk sebagai hobi, tapi sebenarnya mereka boleh menjadikannya setaraf industri.

“Kami mengalami kesukaran mendapatkan dana kerana agensi kurang percaya untuk sesuatu produk itu berjaya tanpa melihat hasilnya terlebih dulu dan mereka sukar untuk melabur dalam R&D disebabkan kurang keyakinan dan tidak mahu menanggung risiko,” kata Khairul.

Berbanding negara luar yang melihat pada penyelidik dan bukan produk, Malaysia masih takut-takut untuk melabur kepada sumber manusia berbanding syarikat.

“Negara luar maju kerana mereka melabur pada penyelidik dan tidak melihat pada produk atau syarikat serta berani menanggung risiko.

“Tiada agensi dana yang mahu melabur kepada ‘organisasi belakang rumah’ dan mereka hanya berminat memberi dana kepada universiti,” kata Khairul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 11:26 AM