FAIZAH
CHEW merasmikan Hari Anak Angkat Malaysia.
FAIZAH (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Chew mengenai program dan aktiviti Yayasan OrphanCare.
TIGA daripada empat anak angkat Halija menceriakan hidupnya dan suami.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti menyimpan impian untuk memiliki zuriat sendiri, namun tidak semua pasangan dikurniakan apa yang dihajati.

Ada yang terhalang oleh faktor biologi, ada juga yang belum tiba masanya. Sebagai manusia biasa pasti naluri untuk memiliki anak tetap ada dan kerana itu ramai pasangan yang beralih kepada anak angkat.

Dalam soal pengambilan anak angkat, rata-rata pasangan memilih bayi kerana pada usia itu lebih mudah untuk membentuk ikatan antara ibu bapa dan anak berbanding mengambil anak angkat yang sudah besar.

Keadaan ini akhirnya menyebabkan ramai kanak-kanak tidak bernasib baik yang menghabiskan usia mereka di rumah kebajikan atau anak yatim tanpa mendapat sentuhan kasih sayang sebuah institusi keluarga.

Baru-baru ini, Yayasan OrphanCare dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menganjurkan Hari Anak Angkat Malaysia bagi mendedahkan nasib kanak-kanak di rumah kebajikan dengan harapan lebih ramai orang akan membuka hati dan rumah mereka untuk golongan berkenaan.

Pengerusi Yayasan OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, rumah anak yatim adalah satu konsep yang ketinggalan zaman dan perlu diganti dengan keluarga atau penjagaan berasaskan keluarga.

Menurutnya, kanak-kanak tidak boleh diasingkan daripada masyarakat. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang ditinggalkan dalam jagaan institusi kekurangan rangsangan pada usia awal dan lebih cenderung menghadapi masalah sosial, emosi dan psikologi di kemudian hari.

“Ini akan menyukarkan mereka untuk menjalani kehidupan yang normal apabila meninggalkan institusi. Salah satu cabaran terbesar yayasan ini adalah untuk mencari ibu bapa angkat yang bersedia mengambil kanak-kanak lebih tua yang berumur dua hingga 16 tahun dan kanak-kanak kurang upaya fizikal terkawal.

“Kebanyakannya hanya akan mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat yang masih bayi,” katanya.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Statistik kerajaan menunjukkan 13,700 kanak-kanak tinggal di institusi dan rumah anak yatim di negara ini.

OrphanCare kini sudah mengatur pengambilan anak angkat bagi 17 kanak-kanak lebih tua berumur tiga hingga 12 tahun manakala lapan kanak-kanak disatukan kembali dengan keluarga kandung mereka melalui Projek ‘Deinstitutionalisation’.

Projek itu adalah proses menyatukan kanak-kanak dengan keluarga kandung masing-masing atau meletakkan mereka di bawah jagaan ibu bapa angkat.

Kesan negatif institusi

Faizah berkata, Hari Anak Angkat Malaysia diadakan bagi meningkatkan kesedaran, meningkatkan persepsi positif pengambilan anak angkat, menggalakkan orang ramai untuk mengambil anak angkat terutama kanak-kanak yang lebih tua dan kanak-kanak kurang upaya fizikal terkawal.

Selain itu, ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai keadaan mental dan fizikal yang dialami kanak-kanak di rumah anak yatim. Program itu juga secara tidak langsung merangsang perbincangan, perbahasan dan forum di peringkat kebangsaan untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan, NGO berkaitan, masyarakat, syarikat perniagaan dan individu.

Sehingga kini, OrphanCare sudah menyelamatkan 241 bayi di mana 148 daripadanya diambil sebagai anak angkat manakala 93 ibu kandung dipujuk melalui sesi kaunseling untuk menjaga dan membesarkan bayi mereka.

Daripada 148 kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat, 28 daripadanya ditinggalkan di pusat ‘baby hatch’. Di Malaysia, secara purata 100 bayi dibuang setiap tahun dan apa yang menyedihkan, lebih 50 peratus bayi malang itu tidak dapat bertahan.

Kaji selidik menunjukkan kanak-kanak yang membesar di rumah anak yatim tanpa kasih sayang ibu bapa menderita kemudaratan fizikal dan psikologi sepanjang hayat.

Bayi khususnya gagal berkembang seperti yang sepatutnya tanpa interaksi ibu bapa. Penyelidikan baru-baru ini menunjukkan kesan negatif institusionalisasi kepada perkembangan awal otak.

Kanak-kanak yang membesar di institusi berdepan kekurangan dari segi kesihatan, perkembangan fizikal dan kemerosotan dalam pertumbuhan otak.

Menurut Faizah, rumah anak yatim perlu menjadi pilihan terakhir untuk kanak-kanak dan anak-anak yatim. Ini kerana kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada masyarakat yang lebih besar. Ini adalah satu konsep yang ketinggalan zaman dan lebih baik digantikan dengan keluarga atau penjagaan berasaskan keluarga.

“Persekitaran keluarga menyediakan suasana yang lebih menyeluruh termasuk penjagaan, kasih sayang dan keperluan asas untuk perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Ada banyak sebab mengapa kanak-kanak masih tinggal di rumah anak yatim di Malaysia. Sesetengah kanak-kanak yatim ini ada keluarga, tetapi terpaksa tinggal di institusi kerana ibu tidak mampu menjaga dan membesarkan mereka.

“Kanak-kanak ini perlu mendapatkan ibu bapa angkat yang akan memberi mereka rumah yang lebih baik. Jika tidak, mereka terpaksa tinggal di rumah anak yatim sehingga berumur 18 tahun. Selepas umur ini, mereka terpaksa meninggalkan rumah kebajikan dan mula berdikari sendiri,” katanya.

Kajian secara konsisten menunjukkan anak muda yang dibesarkan di institusi berdepan risiko yang lebih besar untuk menganggur, tiada tempat tinggal, mengalami eksploitasi seksual dan pemerdagangan manusia serta bunuh diri.

Cabaran tersendiri

Berkongsi pengalaman membesarkan anak angkat pada usia awal remaja, ibu kepada empat anak angkat, Halija Johan berkata, tugas itu tidak semudah yang disangka.

Berbanding mengambil anak angkat ketika masih bayi, ibu bapa angkat perlu faham bahawa anak yang lebih tua sudah mempunyai fikiran sendiri mengenai kehidupan.

Wanita berusia 42 tahun itu mengambil dua anak angkat lelaki masing-masing pada 2007 dan 2010 ketika baru dilahirkan kerana kesempitan hidup keluarga mereka.

Muhammad Hilmi Abdullah, 6, Muhammad Haziq Abdullah, 9, diambil sebagai anak angkat oleh Halija dan suami, Mohd Nizam Abd Rahim, 42, apabila mereka gagal mendapat cahaya mata sendiri selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Pada 2013, Halija mengambil dua kanak-kanak perempuan, Nurul Huda Abdullah dan Nurul Hajar Abdullah yang ketika itu masing-masing berusia 10 tahun dan 11 tahun.

Bagaimanapun, katanya, cabaran mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat menuntut kesabaran tinggi pada awalnya kerana kedua-dua gadis sunti itu bertahun-tahun tidak merasakan kasih sayang ibu bapa dan institusi keluarga sebenar.

“Saya dapat merasakan mereka seperti tidak suka saya dan suami. Mereka menunjukkan perlakuan tidak suka tetapi saya dan suami tetap bersabar. Kami cuba cari jalan untuk mendekati mereka kerana sedar sudah bertahun-tahun anak-anak ini hidup ‘bersendirian’.

“Mereka lebih kuat daripada yang kita sangkakan. Mereka kuat hanya untuk meneruskan hidup bukan untuk disayangi, bukan juga untuk berasa bahagia. Mereka hanya mahu terus hidup, itu saja yang mereka tahu. Mereka sentiasa berasa tidak selamat,” katanya.

Cabaran yang Halija hadapi ketika membesarkan Huda dan Hajar datang dari semua aspek antaranya mereka tidak mempunyai adab yang betul, mengelak daripada mempunyai hubungan fizikal dengannya seperti memeluk atau bersalaman.

Malah, katanya, mereka tidak tahu setiap perkara ada hadnya, melakukan apa saja yang disukai, dan sukar untuk didisiplinkan.

“Ketika menghadapi semua cabaran itu, ada kalanya saya terasa seperti putus asa. Saya sering berasakan saya bukan ibu yang baik, tetapi syukurlah, suami selalu mengingatkan dan memberi perangsang untuk menyayangi mereka sepenuh hati.

“Akhirnya, mereka berubah. Melihat perubahan dua anak dara kami menjadi remaja yang ceria dan membesar dengan sempurna adalah pengalaman yang tidak ternilai. Saya dan suami tahu, kami membuat keputusan yang tepat dengan menambah bilangan ahli keluarga. Syukur, kehidupan kami kini dilimpahi dengan kasih sayang, tawa dan air mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 12:51 PM