ANGGOTA APM Kedah berlatih mengendalikan bot di Kem Paya Pahlawan, Jitra, Kedah. - Foto RAHMAT OTHMAN
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah akan menyediakan kit permulaan bantuan untuk mangsa banjir di semua pusat pemindahan banjir di negeri ini.

Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar Raja Mohamad Al Hakim Raja Jaafar @ Yaakob berkata, kit bantuan itu kini dalam proses penyediaan dan akan diagihkan sekiranya berlaku banjir yang membabitkan pemindahan.

Menurutnya, kit permulaan bantuan sumbangan Agensi Pengurusan Banjir Negara (NADMA) itu mengandungi barangan keperluan asas seperti kopi, gula, roti, biskut, berus gigi, sabun dan ubat gigi bagi setiap keluarga yang berpindah.

"Penggunaannya hanya bertahan antara tiga hingga enam jam sebelum mereka menerima bantuan selanjutnya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Anggota kami akan mengagihkan kit itu sebaik keluarga terbabit mendaftar di pusat pemindahan banjir di daerah terbabit,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Latihan Menghadapi Bencana Banjir di Kem Paya Pahlawan, di sini, hari ini.

Dalam program itu, seramai 100 anggota dan pegawai dari setiap daerah terbabit dalam latihan mengendalikan bot membabitkan 12 buah bot bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 4:29 PM