MOHAMAD Hasan bersama Pengarah SWCorp negeri, Zainal Fitri Ahmad menunjukkan sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR). Turut bersama Pegawai Khas Malaysia Book of Record Sdn Bhd, Justin Paul Samson (lima kiri). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Negeri Sembilan menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila mencatat pengibaran Jalur Gemilang terbanyak sempena sambutan Hari Kebangsaan, Ogos lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 88,747 bendera Malaysia dipasang di seluruh negeri ini, pada 15 Ogos hingga 16 September lalu.

Ia mengatasi rekod terdahulu dicapai Sineo Management Sdn Bhd yang mengibarkan 56,950 bendera di kompleks beli belah Skudai, Johor, pada tahun 2001.

"Pencapaian ini terhasil daripada idea dan usaha gigih kerajaan negeri dengan kerjasama semua pihak termasuk jabatan kerajaan, syarikat swasta dan masyarakat setempat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, majlis sambutan serta istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-69 yang kebiasaan diadakan pada 14 Januari ditangguhkan pada 19 Januari.

Menurutnya, penangguhan itu bagi menghormati tarikh kemangkatan anakanda bongsu baginda, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, pada 15 Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 4:56 PM