KEJAYAAN pasukan STING itu dipuji dan dikongsi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman membongkar satu makmal memproses syabu dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM15.5 juta dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Dalam serbuan itu, tiga lelaki berusia 25 hingga 40-an berjaya ditahan selain merampas beberapa jenis dadah lain selain syabu.

Kejayaan pasukan STING itu dipuji dan dikongsi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, petang tadi.

“Syabas STING @PDRMsia gempur makmal haram proses syabu di Lembah Klang. Tangkap tiga orang dan rampas dadah bernilai RM15.5 juta #GoPDRMGo,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff akan mengadakan sidang media berhubung kejayaan itu pada 11.45 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:25 PM