EMA Manan melihat model projek pembangunan Aman Laut ketika majlis menandatangani memorandum perjanjian. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Kedah, Property Builder KK dan PKB Development Sdn Bhd, menandatangani memorandum perjanjian (MoA_ untuk membangunkan Aman Laut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.2 bilion.

Terletak di lokasi strategik di pantai Kuala Kedah di atas 49.41 hektar tanah tebus guna, Aman Laut adalah komuniti berpagar yang akan menjadi pintu masuk ke Pulau Langkawi selain menawarkan kemudahan kelas pertama seperti bazar membeli- belah, makanan, kedai minuman dan banyak lagi.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Property Builder KK Sdn Bhd, Datuk Iskandar Dzulkarnain berkata, pembangunan Aman Laut dijangka dapat mentransformasi pasaran hartanah Kedah.

"Projek ini juga akan memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah pertama kerana menampilkan pembangunan bercampur yang menawarkan harga berpatutan.

"Terdiri daripada banglo mewah, kondominium, pusat gaya hidup, restoran mewah, Aman Laut dijangka menjadi sebuah bandar baru yang terletak di pantai Kuala Kedah," katanya di majlis menandatangani memorandum perjanjian di sini, hari ini.

Projek berprofil tinggi ini akan dilaksanakan oleh Property Builder, yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam pembangunan hartanah Kedah.

Pembangunan Aman Laut dijangka akan bermula awal 2017 dengan pelancaran jualan hartanah pada suku pertama 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:09 PM