Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan cuba membunuh isterinya dengan menjerut leher wanita itu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya, 28 November lalu.

Tertuduh, Izaki Mohamed Taib,37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Amran Jantan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Izaki dituduh menjerut leher isterinya, Nursuhana Misni, 22, dengan menggunakan seutas tali nilon bagi membunuhnya di dalam kereta di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini, antara 7.35 malam hingga 7.45 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Majistret kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Disember depan bagi tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 2:05 PM