TERTUDUH kes buli murid asrama anak yatim di Jejawi berbincang bersama peguam di Mahkamah Juvana Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Keenam-enam tertuduh kes buli membabitkan seorang murid di sebuah asrama anak yatim di Kangar yang tersebar menerusi rakaman video di media sosial baru-baru ini menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Kesemua mereka yang diwakili Peguambela, Pijaya Singh, menukar pengakuan berkenaan dihadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri .

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari 2015 sebagai tarikh bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini pada 6 November 2014, kesemua mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan bersama-sama mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 11 tahun di Asrama Anak-Anak Yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah, Jejawi.

Berdasarkan pertuduhan juga, kesemua mereka bersama-sama menggunakan kekerasan dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan negeri, Timbalan Pendakwaraya Badius Zaman Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 1:07 PM