Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra melafazkan sumpah jawatan Pemangku Raja Kelantan di depan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kota Lama, Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada istiadat di Istana Kota Lama di sini, hari ini.

Baginda akan memegang jawatan itu sepanjang Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 mulai 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan watikah pelantikan sebagai Pemangku Raja Kelantan kepada adindanya itu, selepas Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengisytiharkan pelantikan baginda memegang jawatan berkenaan.

Tengku Mahkota Kelantan kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Ahmad Bache dan Ketua Hakim Syarie Datuk Daud Mohamad menjadi saksi istiadat itu.

Turut hadir ialah Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim, Tengku Temenggong Kelantan Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 10:42 PM