KEADAAN Pasar Besar Kuala Krai yang tenggelam. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN Pasar Besar Kuala Krai yang tenggelam. FOTO ihsan pembaca.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: Tiga helikopter akan digunakan untuk mengangkut bot bagi menyelamat mangsa yang terperangkap di Kuala Krai.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Thajudeen Abdul Wahab berkata, semua aset itu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kita sedia maklum rintihan mangsa yang terperangkap di sana, kita sedang lakukan yang terbaik.

"Semua cara digunakan untuk salur bantuan selepas bot gagal memasuki kawasan itu kerana arus yang deras.

"Cara berikutnya adalah memindahkan bot menaiki helikopter dan bantuan makanan dan keperluan lain juga melalui udara," katanya di sini.

Thajudeen berkata, ketika ini semua helikopter berkenaan masih belum dapat berlepas disebabkan faktor cuaca.

Katanya, sebaik kelulusan berlepas diperoleh, semua aset terbabit akan ke kawasan bencana dari Pengkalan Chepa secepat yang mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 2:22 PM