SARIP menunjukkan anak pokok matoa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Serdang: Sebiji buah, tetapi mempunyai tiga rasa buah-buahan berbeza iaitu laici, durian dan rambutan.

Itu keunikan buah matoa yang terdapat di Laman Tiba Dua, MAHA 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Buah yang berasal dari Papua New Guinea itu berbentuk bulat, berwarna kekuningan pada kulitnya manakala isinya berwarna kuning cair apabila masak.

Buah itu juga asing di negara ini dan ramai tidak mengetahui keenakan rasanya yang lemak manis serta kandungan 11 khasiat yang baik untuk kesihatan.

Kelebihan itu mendorong petani, Sarip Walat,50, mengusahakan tanaman 30 pokok berkenaan di ladangnya di Taman Melawati, Ulu Klang dalam usaha mengkomersialkan di negara ini.

Sarip berkata, rupa bentuk pokok itu seperti pokok longan dan sudah boleh mengeluarkan hasil selepas tiga tahun ditanam.

“Buahnya lebat pada tangkai juga seperti mata kucing dan harganya tinggi iaitu mencecah RM60 sekilogram.

“Penjagaan pokok ini mudah dan ketinggiannya sehingga 18 meter,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, anak pokok matoa yang berusia dua bulan dijual pada harga RM30.

Menurutnya, tanaman pokok Matoa popular di Indonesia sejak 20 tahun lalu kerana kayu tumbuhan itu digunakan dalam pembuatan jam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:01 AM