TIMBALAN Menteri Besar Kelantan. FOTO fail NSTP
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan. FOTO fail NSTP
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keadaan banjir di negeri itu masih terkawal dan tidak memerlukan perintah darurat dikeluarkan.

Beliau berkata, ketika ini pasukan menyelamat masih mampu menjalankan tugas dengan baik dan sedaya upaya membantu mangsa banjir di semua sembilan jajahan terbabit.

"Cuma ada kawasan yang kritikal iaitu di Manek Urai, Lalok dan Karangan yang semuanya di jajahan Kuala Krai kerana untuk sampai ke sana, sukar buat masa ini disebabkan arus deras.

"Bagaimanapun, mereka berusaha sedaya upaya dan melakukan pelbagai cara supaya mangsa dapat diselamatkan dan bantuan keperluan serta makanan dapat dihantar.

"Banjir ini ketentuan Allah. Keadaan tidak teruk lagi berlaku pada 1967 dan 2004 tetapi tiada perintah darurat dikeluarkan kerana masih terkawal," katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Mohd Amar juga berkata, darurat tidak boleh diumumkan sewenang-wenangnya dan perlu mengambil kira pandangan semua agensi yang terbabit dengan bencana.

Katanya, turut berharap semua pihak bertenang dan tidak menyebar maklumat yang salah mengenai situasi banjir di Kelantan.

Maklumat tepat boleh diperolehi menerusi bilik gerakan banjir Kelantan dan portal eBanjir yang sentiasa dikemaskini setiap satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 3:38 PM