SUSPEK yang berjaya ditahan polis. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lawas: Lelaki parah ditikam saudaranya ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Awat-Awat, Sundar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 30-an parah di bahagian perut sehingga menyebabkan ususnya terkeluar selepas ditikam menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Suprintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 53 tahun dikatakan cuba menikam tetamu lain namun terkena mangsa.

Menurutnya, berlaku pergelutan ketika kejadian dan suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan orang ramai tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

"Siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah mental dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mangsa di bawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:47 AM