FOTO Eizairi Shamsudin
FOTO Eizairi Shamsudin

Kuala Lumpur: Proses pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai, kata syarikat pembekal tenaga itu.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, ini dipastikan melalui kerjasama erat antara TNB, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Sebenarnya, banjir ini berlaku bukan kerana tindakan TNB melepaskan air di empangan-empangan ini. Sebaliknya hujan lebat telah meningkatkan paras air di kesemua empangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia menarik perhatian bahawa hujan lebat berterusan di beberapa negeri di semenanjung sejak awal Disember telah meningkatkan paras air di beberapa empangan hidroelektrik TNB.

Sehingga kini, katanya, empat empangan telah melepaskan air secara terkawal iaitu Empangan Tasik Kenyir (Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud), Empangan Bersia, Kenering dan Chenderoh (Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak).

Air di Empangan Pergau di Kelantan dan Temenggor bagi Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak masih di bawah paras pelepasan air, katanya.

Mohd Aminuddin menjelaskan selain menjana elektrik, fungsi utama empangan TNB ialah mengawal aliran air yang banyak akibat hujan lebat berterusan.

Menurutnya, empangan hidroelektrik TNB telah membantu mengawal keadaan banjir luar biasa dan bencana lebih besar daripada berlaku.

“TNB juga memberi jaminan bahawa semua empangan berkaitan berada dalam keadaan baik dan selamat,” kata Mohd Aminuddin.

Beliau berkata, syarikat akan terus memantau pencawang elektrik di beberapa kawasan terjejas banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air mencecah paras bahaya.

TNB juga menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik boleh didapati dengan menghubungi talian TNB CareLine di 1-5454. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 4:11 PM