Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Empat lelaki melarikan 21 dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM1.5 juta di kedai emas di Plaza OUG di Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.59 tengah hari itu, tiga penjenayah memecahkan cermin pameran kedai emas berkenaan menggunakan tukul besi dan parang manakala seorang suspek memegang objek menyerupai pistol.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pengadu yang menghubungi panggilan Mers 999.

Menurutnya, suspek dilaporkan melarikan diri menggunakan Mercedes Benz berwarna hijau.

"Ketika kejadian, terdapat lima pekerja iaitu tiga pekerja wanita sedang makan di belakang kaunter manakala dua lagi pekerja lelaki berada di bahagian pameran barang kemas.

"Kedai emas berkenaan dipantau empat kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dikawal seorang pengawal keselamatan bersenjata api. Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu kira-kira 9 meter dari premis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak forensik berjaya memperoleh sembilan kesan darah serta dua serpihan kaca yang terdapat kesan darah untuk dianalisa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 7:22 PM
KEDAI emas yang disamun. FOTO ihsan Polis
KEDAI emas yang disamun. FOTO ihsan Polis