Mohamed Al Amin dan Hafsah pada sidang media Anugerah Enterprise 50, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diseru supaya bersedia menangani perubahan besar atau trend mega melalui pelaksanaan pelbagai teknologi terkini seperti Internet Untuk Segalanya (IOT) dan perniagaan secara dalam talian.

Ketua Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim berkata, langkah itu perlu bagi memastikan mereka sentiasa produktif dan mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, SME Corp akan memberi fokus kepada perkara itu melalui aktiviti pendidikan bagi mewujudkan kesedaran terbaik dalam kalangan PKS memandangkan negara sedang menuju ke arah ekonomi digital.

“Kami merancang pelbagai program pada tahun depan bersempena Tahun Promosi PKS di mana ia bukan saja membabitkan SME Corp, malah kementerian lain untuk membolehkan PKS benar-benar bersedia menghadapi trend mega pada masa depan,” katanya pada sidang media Anugerah Enterprise 50 (E50), semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengarah Eksekutif Deloitte, Dr Nordin Zain.

Pada 2014, sektor PKS tempatan menyumbang sebanyak 35.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara (KDNK) dan ia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sumbangan 41 peratus menjelang 2020.

Mohamed Al-Amin berkata, SME Corp gembira dengan penyertaan dalam kalangan syarikat PKS bagi anugerah tahunan itu di mana 102 syarikat menghantar permohonan dengan 73 syarikat layak menyertai E50.

“Jumlah penyertaan itu adalah peningkatan 5.8 peratus jika dibandingkan pada 2014 sekali gus menunjukkan anugerah ini penting bagi menilai prestasi semasa mereka dan dijadikan kayu pengukur bagi perniagaan masing-masing di masa depan,” katanya.

Anugerah E50 dianjurkan buat kali ke-19 oleh SME Corp sejak ia mula diperkenalkan pada 1997 dan sehingga kini 1,927 syarikat sudah tercalon untuk anugerah itu dengan 664 daripadanya terpilih sebagai penerima anugerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 9:15 AM